
KUALA LUMPUR: Satu daripada 58 kes disyaki mpox yang telah dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang tahun 2024 telah disahkan positif mpox varian clade II pada semalam, Isnin, (16 September).
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, dengan itu juga, semua 10 kes di Malaysia sejak 26 Julai 2023 sehingga kini adalah daripada varian clade II sahaja.
“Pesakit tersebut merupakan seorang lelaki warga tempatan yang mula menunjukkan gejala demam, sakit tekak, dan batuk pada 11 September 2024, manakala ruam mula muncul kemudian pada esoknya, 12 September.
“Pesakit (itu) tiada sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul, kini sedang dalam isolasi, dan berada dalam keadaan yang stabil.
“Semua kontak bagi pesakit ini sedang dikenalpasti dan status kesihatan mereka akan dipantau mengikut tatacara kendali piawai (SOP) semasa yang ketat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, katanya mpox telah diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (Public Health Emergency of International Concern – PHEIC) buat kali kedua pada 14 Ogos 2024.
Menurutnya, ia berikutan penularan clade Ib virus itu yang lebih pantas di Republik Demokratik Congo (DRC) dan negara-negara jiran di rantau Afrika.
Susulan itu jelasnya, KKM telah mengaktifkan bilik gerakan mpox di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan pada 16 Ogos 2024.
CPRC Kebangsaan katanya terus memantau situasi mpox serta menyelaraskan langkah-langkah kesiapsiagaan dan respons yang berkenaan.
Orang ramai perlu tingkatkan kesiapsiagaan
Muhammad Radzi berkata, bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan membolehkan orang ramai memainkan peranan dengan meningkatkan kawalan kesihatan kendiri, KKM meneruskan hebahan kepada orang ramai melalui pelbagai saluran media massa dan media sosial.
“Orang ramai juga boleh mengambil langkah seperti berikut, pertama, individu berisiko tinggi yang bergejala Mpox seperti demam, bengkak kelenjar limfa dan ruam atau lepuh perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat;
“Keduanya, elakkan bersentuhan secara langsung dengan individu yang disyaki atau disahkan dijangkiti mpox termasuk hubungan seksual; dan
“Ketiganya, mengamalkan kawalan kesihatan kendiri seperti mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman (hand sanitizer),” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengamal perubatan di barisan hadapan juga perlu terus peka terhadap individu bergejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.
Tambahnya, bagi kes yang disyaki mpox, swab lepuh, swab oral dan sampel darah atau serum perl dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox.
“Kes disyaki mpox hendaklah dinotifikasi ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut serta langkah pencegahan dan kawalan dapat dijalankan,” katanya.
Cara Jangkitan, gejala mpox
Sehubungan dengan itu, beliau berkata mpox adalah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus monkeypox (MPVX).
“Jangkitan berlaku melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox.
“Gejala mpox adalah demam berserta ruam makula papular atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea.
“Tempoh inkubasi sebelum individu menunjukkan gejala adalah antara lima (5) ke 21 hari dari pendedahan kepada jangkitan,” jelasnya.
Menurutnya lagi, individu yang positif mpox boleh menjangkiti orang lain antara sehari sebelum gejala muncul sehingga semua lepuh telah kering serta tanggal sepenuhnya.
“Lazimnya kes mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus.
“Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti akaun-akaun media sosial KKM untuk mendapatkan kemaskini yang tepat,” katanya.
Beza mpox clade I, clade II
Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), terdapat dua jenis virus yang menyebabkan mpox – varian clade I dan clade II.
Clade I bertanggungjawab terhadap peningkatan kes semasa di Afrika Tengah dan Timur, terutama di Republik Demokratik Congo (DRC).
Dari segi sejarah, clade I menyebabkan bilangan penyakit teruk yang lebih tinggi daripada clade II, dengan sehingga 10 peratus indivudu orang mati akibat menghidapnya.
Dikenali juga sebagai Clade 1b, varian mpox Clade I mula dikesan muncul pada September 2024 dalam kalangan pekerja seks di bandar perlombongan DRC Kamituga, kira-kira 273 kilometer dari sempadan dengan Rwanda.
Pada 2022, varian mpox Clade II (sebelum ini dikenali sebagai Monkeypox) terlebih dahulu telah menyebabkan wabak di peringkat global, dengan sebahagian besarnya dikesan dalam kalangan komuniti lelaki gay dan biseksual.
Ketika wabak clade II mpox berterusan, laluan penularan utamanya dikaitkan dengan aktiviti seksual dalam kalangan gay, biseksual dan lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM).
Kedua-dua jenis virus boleh merebak melalui Hubungan rapat (termasuk hubungan intim) dengan seseorang yang menghidap penyakit campak; Sentuhan langsung dengan bahan tercemar; dan hubungan langsung dengan haiwan yang dijangkiti
Walaupun kes mpox tidak mengancam nyawa, sesetengah orang mungkin lebih berkemungkinan mendapat sakit teruk, termasuk individu yang mempunyai sistem imun yang sangat lemah, kanak-kanak di bawah satu tahun, individu yang mempunyai sejarah ekzema; dan wanita hamil. – HARAKAHDAILY 17/9/2024




















