
KUALA LUMPUR: Kesungguhan aktivis Palestin,Mytheyar Mutturamalinggam yang mampu melakukan mogok lapar selama 200 jam adalah satu kejayaan.
Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin, Tian Chua berkata, perkara tersebut membuktikan Mytheyar benar-benar memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
“Walaupun mogok lapar ini tidak mendapat sambutan positif daripada pihak kerajaan tetapi keupayaan Mytheyar melakukan mogok lapar selama 200 jam merupakan satu kejayaan dalam memberi kesedaran kepada orang ramai,” katanya dalam Sidang Media Sekretariat Solidariti Palestin di kawasan Dataran Merdeka, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Malaysia Nadzir Helmi; mantan Timbalan Ketua Umno Putrajaya Datuk Tun Faisal Ismail Aziz; Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin Tian Chua; Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid; dan aktivis Hishamuddin Rais.
Tidak ketinggalan pempengaruh media sosial Aidil Yunus (atau YB Viral); aktivis bebas Siti Zulaika Olivia; pempengaruh media sosial Nurpais Ismail (Papa Berry); Naib Ketua Wiranita Malaysia, Nur Amani Ibrahim; dan seorang rakyat marhaen yang turut mogok lapar bersama-sama Mytheyar iaitu Siti Aishah Ibrahim.
Menurut beliau, setiap rakyat Malaysia perlu bersatu dalam menghadapi isu Palestin termasuklah mengenai cadangan penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) oleh pihak kerajaan terhadap Global Infrastructure Partners (GIP) milik BlackRock.
Tambahnya, kerajaan seharusnya perlu berfikir semula mengenai perjanjian sebegini memandangkan perkara tersebut juga adalah melibatkan aset negara ini.
“Kita sebagai rakyat negara ini tanpa mengira agama dan kaum perlu bersatu dan prihatin terhadap apa yang berlaku di rakyat Palestin.
“Mungkin ada yang tidak setuju dengan kaedah mogok lapar ini tetapi apa pun kita gunakan saluran masing-masing untuk meneruskan perjuangan bersama-sama rakyat Palestin dan pada masa yang sama mempertahankan aset negara ini,” jelasnya.
Pada 5 Julai lalu, media melaporkan Mythreyar mengumumkan rancangannya untuk melancarkan mogok lapar di hadapan Parlimen bagi membantah penjualan saham MAHB kepada syarikat berkaitan BlackRock.
Menurut Mythreyar, sepanjang melakukan protes selama lima hari itu, ramai datang mengunjunginya sebagai tanda memberi sokongan dalam usaha perjuangannya termasuk dalam kalangan ahli-ahli Parlimen.
Sehubungan itu, Tian Chua menyatakan baru-baru ini dunia dikejutkan dengan cubaan pembunuhan terhadap seorang calon Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Namun begitu, kata beliau, terdapat satu tayangan iklan yang dibuat oleh syarikat BlackRock yang menunjukkan ada seorang muda yang cuba untuk membunuh beliau.
“Adakah ianya satu kebetulan? Saya tidak tahu tetapi apa yang saya ingin menyatakan ialah BlackRock merupakan pelabur terbesar untuk pemilikan senjata api peribadi.
“Kita semua tahu bahawa ramai rakyat Amerika Syarikat memiliki senjata api peribadi dan boleh lihat banyak insiden keganasan yang berlaku dalam negara tersebut.
“Budak-budak di sana bergaduh pun jika tidak berpuas hati akan terus menggunakan senjata apinya untuk membunuh antara satu sama lain.
“Perkara sebegini jelas menunjukkan syarikat BlackRock sanggup membuat keuntungan dengan merosakkan sosial masyarakat itu sendiri.
“Maka, saya harap kerajaan kita yang mengamalkan konsep Madani iaitu nilai-nilai murni seperti keprihatinan dan kasih sayang perlu menolak pelaburan yang dibuat oleh syarikat yang bertentangan dengan nilai-nilai murni Madani itu sendiri seperti BlackRock,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2024




















