
JABALIA, Semenanjung Gaza: Satu video menyayat hati yang tular memaparkan seekor anjing ganas milik tentera Zionis Israel secara kejam telah menyerang dan menggigit seorang wanita warga emas Palestin di dalam rumahnya ketika serbuan yang dilakukan di kem pelarian di utara Gaza, di sini.
Menerusi video yang diperoleh Al Jazeera, sebuah kamera dipercayai telah dipasang pada anjing berkenaan yang kemudiannya menyerang warga emas berusia 66 tahun ketika dia sedang tidur, sebelum mangsa menjerit ketakutan.
Mangsa yang dikenali sebagai Dawlat Abdullah Al-Tanani, 66, dilaporkan mengalami kecederaan parah dan patah tulang akibat serangan kejam dan tidak berperikemanusiaan oleh puak Zionis Israel.
Bercakap kepada Al Jazeera, dia berkata bahawa Pasukan Pendudukan Israel (IOF) telah melepaskan anjing itu ke arahnya disebabkan oleh tindakan dia yang tidak bersetuju dan menentang pengusirannya dari rumah.
“Saya enggan dipaksa keluar dari rumah saya, dan saya juga tidak akan meninggalkan rumah saya. Oleh itu, orang (tentera) Israel telah melepaskan seekor anjing kepada saya, yang menggigit saya ketika saya tidur di atas katil.
“Ia menyeret saya dan menarik saya sehingga ke pintu masuk. Sekarang saya mengalami kecederaan serius. Tiada hospital atau apa-apa untuk merawat kecederaan saya ini. Tangan saya masih belum dirawat,” katanya.

Insiden yang berlaku itu telah mengukuhkan lagi tuduhan terhadap IOF kerana melakukan bentuk penyeksaan dan keganasan yang teruk terhadap orang awam, berbeza dengan statusnya yang mengisytiharkan mereka sebagai ‘tentera paling bermoral di dunia’.
Sehubungan itu, duta negara Palestin ke United Kingdom, Husam Zomlot telah mengecam kejadian itu.
“Pengecut!”, tulis Zomlot dalam catatan di media sosialnya yang berkongsi rakaman itu.
Sementara itu, golongan aktivis bangkit menegaskan bahawa tindakan sedemikian, termasuk penggunaan anjing polis terhadap orang awam, telah menjadi amalan lama oleh tentera Israel.
Pengguna laman media sosial yang telah melihat video berkenaan bertindak berkongsi video itu secara meluas, menyatakan rasa terkejut dan marah tentang sejauh mana IOF mendatangkan kesakitan dan penderitaan kepada rakyat Palestin.
Menerusi komen di laman Instagram peace_exist, seorang pengguna dengan nama abdulraheem1_ menulis, “kekejaman terhadap orang yang tidak bersalah tidak akan dimaafkan oleh tuhan. Bila dunia mendiamkan diri, Israel perlu menanggungnya satu hari nanti. Amin.”
Netizen, mohammed_sami_._ pula menulis, “Astaghfirullah, apa yang sedang berlaku. Ya Allah, tolong lindungi mereka dan bantu manusia yang tidak bersalah itu.”
Seorang lagi pengguna Instagram, andreysujatmoko menulis, “Laknatullah, semoga Allah SWT membalas anda di dalam neraka. Aamiin Ya Rabbal Alamin.” -Agensi/– HARAKAHDAILY 27/6/2024




















