Penyasaran subsidi diesel cuma alasan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyasaran subsidi diesel untuk menyelamatkan negara dalam aspek kewangan dan bagi mengelak daripada penyeludupan oleh pihak tidak bertanggungjawab, merupakan suatu alasan semata-mata.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, alasan tersebut pernah diberikan oleh kerajaan terdahulu dalam merasionalkan tindakan penghapusan subsidi rakyat namun ditentang hebat oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

- Advertisement -

“Perkara ini sehingga dijadikan bahan jenaka oleh si ‘raja formula’ (Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli). Kini, lain pula lenggoknya apabila sudah memegang tampuk kuasa. Hilang sudah mereka yang bermati-matian mempertahankan hak rakyat dalam isu subsidi. 

“Yang tinggal hanyalah janji dan kenangan abadi. Walhal, inilah masanya ekonomi Madani melaksanakan solusi yang dahulunya dikemukakan kepada kerajaan yang didakwa sebagai alternatif terbaik untuk tidak mengusik subsidi rakyat. 

“Sayangnya, mereka juga serupa dengan kelompok yang dahulunya mereka gelarkan sebagai ‘pengkhianat’ dan ‘pencuri’ harta kekayaan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, tindakan kerajaan kini tersasar daripada teori pengamalan rasionalisasi subsidi yang sepatutnya dan kesannya begitu membebankan rakyat dan negara. 

“Tekad politik dalam mengurangkan beban hidup rakyat hanyalah kata-kata yang dilontarkan dan dikuatkan dengan angka-angka yang entah dikutip daripada mana untuk menutup kelemahan kerajaan semasa dan penderitaan rakyat Malaysia.

“Hakikatnya, pelaksanaan penyasaran subsidi ini membuktikan kegagalan Anwar dan kerajaannya untuk menunaikan janji-janji yang ditabur sebelum pilihan raya kepada rakyat Malaysia. 

“Keadaan rakyat Malaysia kini tidak ubah seperti ‘harapkan pagar, pagar makan padi’,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -