Pembahagian Islam kepada 4 kelompok, strategi pihak musuh

Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pembahagian Islam kepada empat kelompok oleh RAND Corporation merupakan satu daripada cara musuh Islam dalam memerangi umat Islam itu sendiri.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional Negeri (PN) Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, beliau telah menyelesaikan laporan daripada syarikat tersebut mengenai Islam.

- Advertisement -

“Dalam laporan tersebut, mereka membahagikan Islam kepada 4 kelompok iaitu Fundamentalis, Traditionalis, Modernis dan Liberalis,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan Amerika Syarikat telah menyediakan dana kepada kumpulan tertentu daripada setiap empat  kelompok tersebut bagi menjayakan cita-cita mereka atas nama memerangi ‘Islam radikal’.

Tambahnya, umat Islam perlu berhati-hati dengan apa pun dana yang disalurkan oleh pihak musuh melalui pelbagai cara.

“Berhati-hati dengan dana musuh yang disalurkan dengan pelbagai cara samada secara terus disalurkan atau melalui program-program latihan dan lain-lain.

“Lihatlah bagaimana musuh Islam mengkaji tentang Islam dan memanfaatkan untuk mendatangkan laba bagi mereka,” tegasnya.

Beliau menyatakan, pertembungan dan pertelingkahan sesama Islam sentiasa memberi laba (keuntungan) kepada musuh Islam itu sendiri.

Kata beliau, pentingnya untuk umat Islam menyahut seruan seorang ulama Syaikhul Azhar Syeikh Dr. Ahmad Tayyib agar umat Islam bersatu mengetepikan perbezaan mazhab yang sememangnya selari dengan apa yang dibawa oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang setelah sekian lama.

“Gagasan penyatuan ummah ini bukan sahaja perlu digerakkan di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Ini kerana sama ada sedar atau tidak kita sedang mengikut rentak dan percaturan musuh Islam.

“Moga umat ini kembali bangkit dari lena dan percaturan musuh yang mana isu Palestin ini menyatukan kita semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/5/2024

- Advertisement -