Angkara pemikiran liberal terhadap umat Islam

Pemikiran liberal memberi impak yang besar kepada umat Islam. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umat Islam menghadapi kesan amat besar akibat masalah pemikiran liberal yang menyebabkan mereka mempersoalkan segala perkara berkaitan agama dan berbahas menggunakan akal fikiran semata-mata.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, perkara ini menyebabkan terdapat seorang wanita yang berkelulusan doktor falsafah dalam bidang Pengajian Islam mempersoalkan berkenaan beliau tidak dibenarkan menjadi imam dalam solat jemaah lelaki.

- Advertisement -

“Sayyidatina Aisyah yang lebih alim daripadanya tidak menjadi imam pun. Tiada wanita yang paling alim berbanding dengan Aisyah pada zamannya dan tiada seorang pun yang dapat menandinginya. Sebab beliau menerima ilmu terus daripada Nabi.

“Aisyah pernah menegur Abu Hurairah. Imam Az-Zarkashi mengumpulkan sehingga sebelas teguran Aisyah kepada Abu Hurairah dalam kitab ‘Al-Ijabah li Iraadi ma istadrakathu Aisyah ala as-Sahabah’,” kata beliau dalam perkongsian dalam media sosial rasmi miliknya hari ini.

Menurutnya, Abu Hurairah menghafal banyak hadis berbanding orang lain, tetapi fekahnya kurang meskipun beliau sentiasa mengikut ke mana sahaja Nabi pergi dan disebabkan itu, hadis yang diriwayatkan olehnya lebih banyak daripada orang lain. 

Tambahnya, Abu Hurairah tersohor dalam ilmu hadis, tetapi tidak faqih, namun beliau hanya boleh menghafal dan menyampaikan, tetapi tidak mampu untuk mengistinbat atau mengeluarkan hukum atau keputusan berdasarkan Quran atau Hadis tertentu.

“Pada suatu hari, dia menyebut satu hadis kepada orang lain mengikut tafsirannya sendiri. Lalu Aisyah menegurnya: “Wahai Abu Hurairah, tidak tepat apa yang kamu beritahu itu, maksudnya lain.” Nak kata Aisyah lebih memahami berbanding Abu Hurairah. 

“Walaupun setara itu kealimannya, beliau tidak menjadi imam dalam solat di mana jemaahnya adalah lelaki dan tidak membaca khutbah pada hari Jumaat.

“Disebabkan kita perasan yang kita alim, jadi terus nak menjadi imam, bukan begitu kaedahnya. Aisyah mengajar sehingga ke akhir hidupnya dan ramai yang belajar banyak ilmu dengannya. 

“Sebab sepanjang hidup beliau bersama dengan Nabi. Beliau banyak masa dengan Nabi, jadi beliau lebih tahu dan faham agama. Maka, bukan sahaja kena ada ilmu, tetapi perlu juga kepada peraturan-peraturan yang lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/5/2024

- Advertisement -