Pokok tumbang hempap 17 kereta, landasan monorel: 1 maut, 2 cedera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan maut, manakala seorang lagi lelaki serta seorang wanita Sweden cedera dalam insiden pokok besar tumbang menghempap landasan monorel di Jalan Sultan Ismail, berhampiran Hotel Concorde, di sini, pada hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, M Fatta M Amin berkata, dua mangsa lelaki tersebut tersepit dalam kenderaan masing-masing dan berjaya dikeluarkan anggota bomba.

- Advertisement -

Salah seorang mangsa lelaki itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM), manakala seorang lagi lelaki yang cedera terus menerima rawatan di lokasi kejadian.

Sementara Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Nazron Abd Yusof ketika mengesahkan di lokasi kejadian berkata, kejadian yang berlaku pda kira-kira jam 2 petang itu membabitkan sekurang-kurangnya 17 kenderaan pelbagai jenis.

Katanya, sebuah kenderaan yang dihempap pokok tersebut membabitkan seorang mangsa lelaki tempatan berusia 47 tahun dan disahkan meninggal dunia.

“Mayat telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Beliau menyatakan, dua mangsa yang cedera itu juga telah dibawa ke HKL membabitkan seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun dan seorang wanita warga Sweden berusia 72 tahun masing-masing ialah pemandu dan penumpang e-hailing.

Insiden yang berlaku selepas hujan lebat yang melanda pada petang Selasa menyebabkan kesesakan teruk berlaku dari Jalan Kuching menghala ke pusat bandar.

Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) melaporkan, laluan jalan raya kedua-dua hala di lokasi kejadian ditutup sementara. Sementara, perkhidmatan awam monorel di kawasan berkenaan juga tergendala.

Terdahulu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur sudah menggerakkan beberapa jentera dan anggotanya ke lokasi kejadian dan Jabatan Kecemasan & Klang Valley Ambulance Service (KVAS) juga telah berada di lokasi. – HARAKAHDAILY 7/5/2024

- Advertisement -