Pokok tumbang: PBT digesa tingkat  kewaspadaan

Seorang maut dan dua cedera dalam kejadian pokok tumbang di ibu negara Kuala Lumpur pada 7 Mei 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Khidmat Malaysia menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan  pihak berwajib di seluruh negara agar dapat meningkatkan kewaspadaan dengan memantau dan memeriksa tahap keselamatan pokok supaya tidak membahayakan orang awam.

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, PBT bertanggungjawab dalam pemantauan dan mengalihkan mana-mana pokok berisiko yang mungkin membahayakan orang awam. 

- Advertisement -

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik apabila berhadapan dengan situasi ini dan ambil langkah sewajarnya. Segera hubungi pihak berwajib seperti bomba, polis, ambulan dan yang seangkatan dengannya.

“Khidmat Malaysia sentiasa memerhati dan bersedia menghulurkan bantuan bagi membantu pihak berkuasa sekiranya diminta,” kata  beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Khidmat Malaysia menurutnya,  menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail di Kuala Lumpur pada Selasa (7 Mei) lepas.

“Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, seorang lelaki berusia 47 tahun maut manakala dua lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang menghempap 17 kenderaan dan landasan monorel, akibat hujan lebat serta angin kuat. Semoga roh mangsa yang terlibat dicucuri rahmat dan diampuni segala dosa oleh Allah SWT.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima lima panggilan kecemasan mengenai kejadian pokok tumbang di ibu negara susulan hujan lebat dan rebut petang Isnin (6 Mei). 

“Katanya, kejadian pokok tumbang di Jalan Rahmah, Taman Gembira menyebabkan lalu lintas terhalang, manakala di Jalan Selesa 1 Taman Gembira di Jalan Kuchai Lama mengakibatkan bumbung rumah dihempap pokok tumbang, namun tidak membabitkan mangsa. 

“Seterusnya di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, pokok tumbang menghempap sebuah kereta. 

“Di hadapan Menara British, Jalan Pinang, Kuala Lumpur, pokok tumbang menghempap lapan kenderaan iaitu tiga kereta dan lima motosikal. 

“Lokasi terakhir di Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya apabila pokok tumbang menghempap sebuah kereta,” ungkap beliau mengimbas kejadian yang telah berlaku baru-baru ini.

Tambahnya, melalui notis MET Malaysia yang terkini, Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 17 Mei 2024 dan akan berterusan sehingga September 2024. 

“Sepanjang tempoh ini, taburan hujan adalah rendah di kebanyakan tempat seterusnya boleh menyebabkan berlakunya fenomena jerebu sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal. 

“Walau bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung, Utara Sarawak dan barat Sabah terutamanya pada awal pagi. 

“Garis badai adalah barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” katanya.

Dalam pada itu ujarnya, orang ramai boleh menyumbang melalui akaun KHIDMAT MALAYSIA (Maybank: 5623 8454 2866) untuk membantu mangsa bencana.

“Sumbangan juga boleh salurkan di link ; https://toyyibpay.com/sumbangan-umum-bencana. Sebarang maklumat atau pertanyaan berkaitan bencana banjir boleh disalurkan ke Hotline Khidmat Malaysia di talian 011-14174789,” katanya. – – HARAKAHDAILY 17/5/2024

- Advertisement -