Tun Hanif Omar meninggal dunia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Negara dikejutkan dengan pemergian Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar yang menghembuskan nafas terakhir jam 2.15 pagi hari ini.

Ia disahkan oleh anak Allahyarham yang juga pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar.

- Advertisement -

“Saya, Abdul Rahmat Omar bin Mohamed Haniff, ingin memaklumkan pemergian pulang ke Rahmatullah ayahanda kami yang dikasihi, Tun Haji Mohammed Hanif bin Omar sekitar jam 2.15 pagi tadi, Sabtu 20 April 2024,” katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya.

Jenazah Allahyarham kini masih berada di kediamannya di Seksyen 13, Shah Alam sehingga jam 10 pagi dan akan dibawa ke Masjid Al-Ikhlas, Shah Alam untuk dimandikan, dikafankan serta disembahyangkan.

Tun Mohammed Hanif Omar dilahirkan pada 16 Januari 1939 di Teluk Intan, Perak merupakan Ketua Polis Negara Malaysia yang keempat negara.

Menerima watikah pelantikan pada 8 Jun 1974 ketika berusia 35 tahun, beliau diberikan mandat sebagai Ketua Polis Negara, iaitu selama 20 tahun, sebelum bersara pada 15 Januari 1994.

Selepas bersara, Mohammed Hanif dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Memantapkan Pengurusan dan operasi-operasi PDRM 2004 hingga 2005.

Mohammed Hanif kemudian dilantik sebagai ahli panel khas siasatan ke Aminulrasyid Amzah pada 2010, seorang pelajar sekolah yang mati mengejut selepas ditembak mati oleh polis ketika memecut melarikan diri kerana memandu kereta tanpa lesen berhampiran rumahnya di Shah Alam.

Beliau amat berjasa dan banyak terlibat dalam kebanyakan peristiwa penting negara seperti Ketua Pegawai Turus (Polis) Majlis Gerakan Negara (18 Mei 1969) berkaitan insiden 13 Mei.

Antara peristiwa penting yang lain ialah beliau bersama-sama dengan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman di Persidangan Manila berhubung dengan penubuhan MAPHILINDO pada tahun 1963; dan juga merupakan antara wakil Kerajaan Malaysia dalam Perjanjian Damai yang dimeterai oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dengan Kerajaan Malaysia dan Thailand pada 2 Disember 1989 di Hatyai, Thailand. – HARAKAHDAILY 20/4/2024