Zulkifli, Sheikh Ahmad kunjungi Madinah Ramadan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Orang ramai telah berpeluang mendengar tazkirah dan beriftar bersama mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr Zulkifli Al-Bakri di Madinah Ramadan, di sini.

Zulkifli berkunjung ke Kelantan semalam untuk mengiringi Qari dari Mesir Syeikh Ahmad Al-Masyad, yang baru sampai ke Kelantan dalam siri jelajah Mubadarah Qurra Al-Quran, Universiti Al-Azhar.

- Advertisement -

Kunjungan Sheikh Ahmad melalui siri jelajah itu telah diaturkan dengan kerjasama Majlis Hukama Muslimin ke Malaysia untuk bersama-sama memeriahkan Madinah Ramadan, Kota Bharu bermula 18 Mac hingga 5 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah menyambut ketibaan mereka di Madinah Ramadan.

Hilmi berkata, kedatangan kedua-dua Zulkifli dan Sheikh Ahmad memberi peluang masyarakat Kelantan khususnya warga Bandar Kota Bharu mendengar taujihat dari kedua-dua ulama berkenaan.

“Saya menyeru orang ramai supaya mengambil peluang untuk solat tarawih di Madinah Ramadan sebagai merebut peluang keberadaan Sheikh Ahmad Al-Masyad ini,” katanya.

Hilmi menyatakan, Madinah Ramadan mempunyai lima imam tarawih tetap, tiga daripadanya imam tempatan termasuk anak kepada Menteri Besar Kelantan, Ustaz Ahmad Izudin Mohd Nassuruddin.

“Mereka bertugas secara bergilir-gilir bersama Syeikh Hisyam Abdel Bari dan Sheikh Abdal Karim Eleyan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

- Advertisement -