Shahidan imbas PH pernah nak hapus Akta MKN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) Peringkat Jawatankuasa terganggu ekoran kenyataan bahawa Pakatan Harapan (PH) pernah mahu hapus Akta MKN 2016.

Dato’ Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) membangkitkan perkara tersebut ketika sesi itu sambil mengimbau pengalamannya sebagai perancang utama bagi akta digubal, namun mendapat tentangan pembangkang.

- Advertisement -

Beliau berkata, pada peringkat awal digubal Akta 776 itu, Perkara 32 menetapkan ketua utama bagi Persekutuan adalah Perdana Menteri dan dipinda pada era PH meletakkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Saya bentangkan masa itu Akta MKN, beri kuasa kepada Perdana Menteri dan PH dengan manifestonya akan hapus Akta MKN, tetapi mereka tidak hapus, mereka pinda Perdana Menteri jadi YDPA.

“Tidak salah asalnya perkataan Perdana Menteri, jangan sebut soal kedaulatan, tetapi yang asalnya Perdana Menteri. Yang bentangkan (usul itu dahulu) adalah Shahidan Kassim jam dua pagi, ditentang dan lulus,” katanya.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) bangun sambil mengangkat Buku Peraturan Dewan lalu membangkit peraturan 36.6 untuk meminta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Ramli Mohd Nor menghentikan ucapan itu.

Beliau mendakwa Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan kerana PH tidak pernah memasukkan hasrat untuk memansuhkan akta tersebut dalam manifesto pilihan raya.

“Saya ingin memberi perhatian kepada Yang Dipertua Dewan bahawa Arau telah mengelirukan Dewan, dia kata Manifesto PH untuk menghapuskan MKN adalah tidak benar dan dia tidak baca Manifesto PH.

“Ini tidak pernah ditulis langsung dalam Manifesto PH akan mansuhkan MKN, ini merupakan satu sangkaan jahat jadi saya minta Arau tarik balik,” katanya mendesak Yang Dipertua berbuat demikian.

Bagaimanapun Shahidan tetap dengan pendiriannya tidak mahu menarik kenyataan tersebut sedangkan Manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) pernah menyatakan untuk hapuskan Akta 776. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

- Advertisement -