Umno makin tenat jika terus bersama PH-DAP

Abdul Basith Abdul Halim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Umno akan menjadi semakin tenat jika terus bersama Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP.

Itu penegasan Ketua Penerangan, Dewan Pemuda PAS Selangor, Abdul Basith Abdul Halim yang turut menyatakan, cita-cita parti itu untuk memperjuang nasib orang Melayu kini semakin sepi.  

- Advertisement -

“Bahkan langsung menjadi pasif apabila Islam dihina demi ‘menjaga’ hati dan undi orang bukan Islam kononnya. Apa sudah jadi dengan Umno Selangor?” soal beliau.

Menurutnya, tindakan Tengku Zafrul yang meletak jawatan selaku Bendahari Umno Selangor berkuatkuasa semalam (1 April) adalah sesuatu yang tidak mengejutkan jika melihat kepada prestasi Umno Selangor yang semakin tidak relevan.

“Tengku Zafrul menyatakan bahawa jika sesebuah parti itu tidak kuat pengaruhnya di Selangor, maka masa depan parti tersebut akan semakin malap. Mana tidaknya, Umno  hanya memiliki dua kerusi di Selangor daripada 56 kerusi keseluruhan.

“UMNO Selangor seharusnya sedar diri. Tindakan mereka pada awal tahun ini yang mahu membolot lebih 373 jawatan ketua kampung (pengerusi JPKK) di Selangor mencerminkan sifat tamak kuasa yang masih tidak berkesudahan.

“Sudahlah berpaut kepada Pakatan Harapan untuk berkuasa, kemudian seolah-olah mengugut pula PH yang sudah berjasa kepada mereka untuk memberikan jawatan ketua kampung tersebut biarpun sudah ditawarkan 20 jawatan ahli majlis PBT. Bukankah ia seumpama mendukung biawak hidup? Diberi betis mahu paha,” hujah beliau.

Tambah Abdul Basith, pelantikan Tengku Zafrul sebagai Bendahari Umno Selangor lebih setahun yang lepas sepatutnya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Umno Selangor. 

“Namun akibat kerapuhan hubungan dengan Pakatan Harapan, di samping ia semakin ditolak rakyat, Umno Selangor semakin tiada hala tuju,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/4/2024

- Advertisement -