Ekonomi negara: Syahir patahkan hujah ‘pujangga’ Rafizi

Syahir dan Rafizi usai debat ekonomi, Model Baru Ekonomi Malaysia yang bersiaran secara langsung di studio Radio Televisyen Malaysia (RTM) Angkasapuri, Kuala Lumpur pada malam ini, 9 Ogos 2023. (FOTO FAIL: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan ‘berani mati’ Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tentang senario semasa keadaan ekonomi melalui Facebook miliknya pada hari ini, Selasa (2 April) segera meraih respons Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman.

Sementelah kedua-dua Syahir dan Rafizi pernah bersemuka dalam Debat Model Ekonomi Baharu Malaysia yang disiarkan secara langsung di Astro Awani dan RTM pada 9 Ogos 2023.

- Advertisement -

Pada kali ini dalam Facebooknya itu Rafizi berhujah, “Kalau nak rasa ekonomi Malaysia sudah nak kiamat, bacalah HarakahDaily dan tonton Tiktok PN (Perikatan Nasional).

“Tapi kalau nak tahu bagaimana keadaan sebenar ekonomi (Malaysia), bacalah  Bloomberg dan laporan kewangan antarabangsa.”

“Itu Menteri (Rafizi) kata,” ulas Syahir melalui Facebook miliknya.

“Rakyat di bawah pula kata, kalau nak rasa ekonomi Malaysia ‘selamat’ daripada nak kiamat, dengarlah pujangga PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan formula Menteri (Rafizi),” tegasnya penuh makna tersirat.

“Kalau nak tahu keadaan sebenar ekonomi, kena baca berita tempatan yang lebih dekat dengan ‘poket’ dan denyut nadi rakyat (Sinar Harian, Berita Harian, Astro Awani, termasuk HarakahDaily),” tegasnya penuh makna.

Beliau juga menyatakan, jika ingin mengetahui  keadaan sebenar ekonomi negara, perlu baca portal berita tempatan yang lebih dekat dengan ‘poket’ dan denyut nadi rakyat seperti Sinar Harian, Berita Harian, Astro Awani dan HarakahDaily yang antara lainnya  menurut beliau telah melaporkan berita-berita berikut:

1 Mac: Nilai Ringgit Jatuh Beri Kesan Kos Sara Hidup Rakyat

11 Mac: Ibu Bapa Terasa Kenaikan Belanja Persediaan Sekolah

30 Mac: Selama 10 Tahun Berniaga, Tahun Ini Paling Teruk- Peniaga Jalan TAR

31 Mac: Beras Putih Tempatan Masih Hilang Dari Pasaran

1 April: Pelabur Asing Jual Saham Lima Minggu Berturut-Turut

Tambah Syahir, rakyat biasa juga membaca berita Inggeris dan antarabangsa yang laporannya kelihatan agak seimbang, terbuka dan tidak selektif, antara lainnya melaporkan:

15 March: Heitech Padu Shares Surge After Former Anwar Political Aide Emerges As Substantial Shareholder

17 March: Malaysians Feel The Pinch As The ‘Shringgit’ Returns

29 March: Malaysia’s Plan To Cut Subsidies This Year Hits A Speed Bump

1 April: Malaysia Defends Subsidy-Linked Database Even As Millions Shun It Over Hacking Fears

Syahir turut menyatakan, “Jangan diamalkan Sindrom Penafian (Denial Syndrome), kerana rakyat tidak tengok ekonomi di TikTok dan Bloomberg, tetapi rakyat tengok poket, tengok akaun bank, tengok bil hujung bulan, dan tengok harga barang yang melambung tinggi.”

Menurut beliau lagi, apa yang penting adalah Menteri (Rafizi) perlu konsisten, dan jangan sehingga rakyat berasa diugut dan tertipu.

“Semalam (1 April) Menteri (Rafizi) kata perlu daftar PADU, kalau tidak nanti tercicir, tetapi hari ini (2 April) dia kata, sesiapa yang tidak mendaftar PADU tetap akan mendapat bantuan jika layak,” ujarnya.

Syahir dalam pada itu menyatakan kerajaan kini berdepan defisit berkembar –  defisit fiskal dan defisit kepercayaan. 

“Jujur dalam pelaporan, asas terpenting kepercayaan rakyat terhadap ekonomi negara. Pesanan ikhlas saya, jaga kesihatan. Be humble (merendah dirilah). Jangan cepat penat,”  katanya. – HARAKAHDAILY 2/4/2024

- Advertisement -