MP pembangkang cari dana lain bantu rakyat

- Advertisement -

TUMPAT: Ahli Parlimen (MP) pembangkang terpaksa mencari dana lain bagi membantu rakyat, memandangkan kerajaan Madani masih berdolak dalih bagi mengagihkan peruntukan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, beliau terpaksa mencari dana lain bagi membantu golongan asnaf ketika Ramadan sekarang.

Katanya, pelbagai cara dilaksanakan bagi mengurang beban penduduk miskin ketika kos sara hidup semakin meningkat sekarang.

“Selain sumbangan peribadi, Kak Taz turut menerima sumbangan daripada beberapa pihak yang turut sama berkongsi rezeki.

“Barangan yang dibeli Kak Taz secara pukal kerana harganya murah sikit,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan kepada penduduk miskin di sini hari ini.

Turut hadir Adun Pengkalan Kubor Wan Roslan Wan Hamat dan pemimpin masyarakat tempatan.

Sehingga sekarang beberapa siri rundingan diadakan antara pembangkang dan kerajaan Madani, namun peruntukan yang dijanjikan belum diterima Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN).

Pada 20 Mac lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dilapor mahu mengadakan perbincangan dengan wakil pembangkang berhubung permohonan peruntukan dalam masa terdekat.

Ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2024 di Istana Negara baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan harapan agar peruntukan dibahagikan secara saksama kepada semua bandar di 13 negeri seluruh Malaysia.

Sementara itu Wan Roslan berkata, biarpun dinafikan peruntukan Ahli parlimen PN tetap berusaha membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif yang dilakukan. – HARAKAHDAILY 2/4/2024

- Advertisement -