Ke mana Kurikulum Baru Pendidikan 2027?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menjelaskan hala tuju ‘Rancangan Pembangunan Kurikulum Baru 2027’, demikian gesa Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah).

Menurut beliau, perkara tersebut pernah dinyatakan Menteri Pendidikan dalam maklum balas bertulis semasa penggulungan Belanjawan 2024 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat pada November 2023 yang lalu.

- Advertisement -

“Meskipun pihak KPM masih di peringkat mendapatkan input awal menerusi program ‘Jelajah Masa Depan Pendidikan’ mulai tahun ini, Kuala Kedah ingin mengetahui apakah hala tuju kurikulum ingin dibangunkan pada 2027 menggantikan kurikulum sedia ada?

“Apakah justifikasi penggantian silibus tersebut dilakukan dan apakah kerangka silibus berkenaan meliputi pengajian peringkat rendah dan menengah?” soalnya semasa perbahasan Junjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah itu menambah, hari ini masih kedengaran hal pemansuhan UPSR dan PT3 walaupun pihak KPM berulangkali menyatakan mengenai tamatnya sistem penilaian tersebut.

“Polemik ini timbul seolah-olah kaedah sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan masih kurang sempurna dan memuaskan, sedangkan kaedah penilaian berkenaan terkandung di dalam Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK).

“Justeru apakah perancangan KPM untuk membina integriti pelaksanaan PBS supaya isu berkenaan dapat dinoktahkan? Apakah pihak KPM merasakan bahawa SPM juga akan mengikuti jejak sama seperti pemansuhan di UPSR dan PT3 selepas kurikulum baru 2027 diperkenalkan,” ujarnya lagi.

Selain itu, Dr Fakhruddin turut meminta agar pihak KPM menyediakan Kertas Putih Pendidikan berkaitan keberkesanan Pelan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang bakal berakhir pada tahun hadapan.

“Kuala Kedah meyakini bahawa kerangka pembinaan pelan pendidikan berkenaan bermatlamat untuk melahirkan warganegara berilmu dan berketerampilan selaras dengan objektif Falsafah Pendidikan Negara.

“Sejajar dengan itu Kuala Kedah ingin mengutarakan cadangan kepada KPM supaya menyediakan kertas putih pendidikan dan membentangkannya dalam dewan yang mulia ini secara komprehensif setelah tamat tempoh pelan berkenaan pada tahun 2025,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -