Terengganu ada hanya satu hospital untuk kes kritikal?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk mempercepatkan proses pembinaan hospital pakar Marang serta menaikkan taraf hospital daerah di Terengganu dengan fasiliti yang lebih baik.

Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berkata, perkara ini adalah bagi mengurangkan kesesakan berlaku di hospital sedia ada ketika ini.

- Advertisement -

Menurutnya, di Terengganu cuma ada sebuah hospital sahaja yang lengkap dengan prasarana untuk rawatan kes-kes kritikal iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

“Meskipun ianya tidaklah selengkap seperti negeri yang berdekatan iaitu Pahang dan Kelantan.

“Isu ini telah saya angkat dalam sidang perbahasan Belanjawan 2024 lalu, namun, tidak mendapat jawapan yang tuntas daripada Kementerian Kesihatan sedangkan perkara ini sangat berkait dengan mazhab utama iaitu nyawa rakyat di Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam ucapan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pesakit turut menghadapi kesukaran apabila perlu ke hospital yang jaraknya terletak jauh dari rumah.

“Pesakit kritikal dari Besut ke Kemaman akan dirujuk ke HSNZ atau ke hospital luar, sama ada Kuantan ataupun Kota Bharu yang jaraknya purata mengambil masa hampir dua jam perjalanan.

“Perkara ini tentunya merisikokan nyawa dan kesihatan pesakit selain waris turut terbeban dengan kos penyelenggaraan yang rumit dan lebih tinggi,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -