Sambutan Hari Media perkukuh kerjasama Malaysia-Thailand

Syed Muhammad Azlann(tiga dari kiri) menjadi salah seorang panel Bengkel Peranan Media Dalam Pelancongan Malaysia-Thailand di Hatyai, Thailand pada hari ini, 6 Mac 2024.
- Advertisement -

HATYAI: Sambutan Hari Media yang menjadi platform terbaik perkongsian maklumat antara pengamal media, kini telah berjaya direalisasikan menggandingkan Malaysia dan Thailand.

Presiden Persatuan Wartawan Perlis (PWP), Syed Muhammad Azlan Sayid Hizar berkata,  tema sambutan pada tahun ini lebih menekankan kerjasama pelancongan antara Malaysia dan Selatan Thailand. 

- Advertisement -

“Antara tujuan kita adakan kerjasama ini bagi mencari ruang bagaimana untuk mempromosikan lagi pelancongan antara dua negara.

“Ini adalah peluang dan platform terbaik untuk berkongsi maklumat tepat dengan pengamal media dan penggiat industri pelancongan khususnya di wilayah Selatan Thailand,” katanya.

Pada 5 Mac setiap tahun, kerajaan Thailand akan meraikan Hari Media untuk menghargai sumbangan pengamal media kepada negara tersebut. 

Kali ini, ia menjadi lebih istimewa dengan penyertaan media dari Malaysia melibatkan negeri-negeri  yang berhampiran iaitu Perlis, Perak, Kelantan, dan Terengganu.

Sambutan yang diadakan selama dua hari (5 dan 6 Mac) di Hotel BP Tower, turut disertai wakil Harakah Perlis, Noor Sara Mashitoh Mohamad Hanif. 

Sebanyak 80 agensi media dari Malaysia, manakala 120 dari tuan rumah (Thailand) menyertainya. 

Menurut Azlan lagi, kerjasama khusus melalui media sosial juga dibentuk untuk mempromosikan destinasi pelancongan di negeri dan kawasan masing-masing.

“Masih ramai lagi belum tahu tempat yang cantik dan berpotensi untuk dipromosikan kepada pelancong dari Thailand, begitu juga tempat menarik di Thailand untuk dipromosikan kepada pelancong Malaysia,” kongsinya.

Dengan adanya perbincangan dalam sambutan ini, ujar beliau lagi, diharapkan satu platform media sosial, contohnya melalui Facebook, dapat dicipta untuk berkongsi maklumat berkaitan dengan destinasi pelancongan di kedua-dua negara.

“Sambutan itu bukan sahaja mengeratkan ukhuwah siratulrahim tetapi serta merapatkan hubungan dan kerjasama strategik antara kedua negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024.

- Advertisement -