PAUiTM tolak cadangan UiTM terima kemasukan bukan Bumiputera

- Advertisement -

SHAH ALAM: Persekutuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) menolak cadangan agar Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima kemasukan bukan Bumiputera. 

PAUiTM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum kepada cadangan dan pandangan oleh personaliti mahupun tokoh masyarakat mengenai perkara tersebut. 

- Advertisement -

Namun, walaupun cadangan serta pandangan tersebut disulam dengan pelbagai justifikasi kononnya atas nama ‘demi kebaikan Melayu’, pihaknya kekal berpegang kepada prinsip asas penubuhan UiTM sebagaimana termaktub di dalam Fasal 1A Akta 173; UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang cadangan atau pandangan sebaliknya, dilihat cuba membelakangkan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas bernegara

“PAUiTM juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada UiTM, para Alumni serta mahasiswa yang terus menerus mencipta kejayaan demi kejayaan, malah pencapaian demi pencapaian, baik di dalam bidang akademik mahupun pembangunan sosio-masyarakat yang membanggakan negara.

“Ini jelas membuktikan bahawa status quo sebagai universiti Melayu Bumiputera tidak pernah menghalang UiTM untuk terus berjaya setanding dengan yang lain,” tegas kenyataan PAUiTM.

Tambahnya, pihak mereka pastinya meletakkan kepercayaan dan pengharapan yang tinggi kepada kepimpinan tertinggi universiti serta kementerian untuk terus istiqamah menjaga amanah ini demi agama, bangsa dan negara. 

“PAUiTM juga menyeru para Alumni untuk sama-sama mengangkat martabat UiTM serta terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tonggak penubuhan universiti bertuah ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/5/2024

- Advertisement -