Maut angkara jalan berlubang: Kerajaan Melaka diam?

- Advertisement -

AYER KEROH: Kemalangan maut disebabkan motosikal melanggar lubang melibatkan seorang guru PASTI menimbulkan banyak persoalan terhadap keberkesanan pengurusan jalan raya di negeri ini.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang DUN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub yang juga ADUN Bemban mempersoalkan tindakan kerajaan negeri di mana sehingga hari ini tidak memberi maklum balas berkaitan isu ini.

Beliau menyatakan perkara tersebut sebagai mengulas tragedi ke atas Siti Sarah Mohamed Nuwawi, 32, guru kanan PASTI Jasin Bestari ketika mangsa menunggang motosikal menghala ke Gapam dari Bemban.

“Kejadian (jam 11:20 pagi Selasa lalu itu) tidak melibatkan kenderaan lain tapi hanya disebabkan keadaan jalan yang berlubang. Lubang bukanlah terbentuk pada permukaan jalan lama, tapi jalan yang baru diturap.

“Ini bukan satu perkara baru di Melaka. Ada banyak tempat-tempat lain yang pernah kita lihat kualiti tampalan jalan yang sangat rendah,” ujar beliau yang juga merupakan Pengerusi Perikatan Nasional Melaka.

Tambah Yadzil, jalan rosak ditampal tidak menghasilkan permukaan jalan yang selamat terutama kepada penunggang motorsikal, malah ia mudah untuk rosak semula.

“Beginikah kualiti kerja penurapan jalan di Melaka sekarang? Akhir-akhir ini saya lihat keadaan (penurapan semula) jalan raya di Melaka tidak memuaskan. 

“Saya seorang sahajakah yang perasan? Saya yakin orang Melaka sependapat dengan saya,” ujar beliau.

Tambahnya, perkara yang berlaku itu juga menimbulkan persoalan mengenai sama ada wujudnya pemantauan kerja-kerja perbaikan jalan di negeri ini.

“Siapa yang dipertanggungjawab untuk memantau kerja-kerja kontraktor yang dilantik? Apakah kontraktor yang dilantik kompeten melakukan kerja-kerja pembaikan jalan?

“Bagaimana duit MARRIS diurus oleh kerajaan? Apa peranan CMI INFRA yang difahamkan sekarang menjadi agensi yang menyelenggara jalan dengan peruntukan MARRIS?” soal beliau.

Kata beliau lagi, pada tahun lalu, Ketua Menteri Melaka bersama rombongan telah melakukan lawatan ke London selama beberapa minggu dengan tujuan mempertingkatkan usaha kecekapan pengurusan jalan di negeri itu.

“Apa hasil lawatan tersebut? Apa kaedah baru pengurusan jalan yang dipelajari hasil lawatan tersebut? 

“Sehingga kini keadaan jalan di Melaka tidak ada perubahan besar pada keadaan jalan di Melaka walaupun lawatan ke luar negara dengan belanja besar yang besar telah dibuat,” kata beliau.

Tambahnya, hasil lawatan beliau ke lokasi kejadian selepas berlakunya kemalangan mendapati jalan tersebut telah diturap semula, tetapi tidak sempurna hasil turapan seolah-olah menunggu mangsa yang berikutnya. – HARAKAHDAILY 9/5/2024

- Advertisement -