
PASIR MAS: Di sebalik masih terdapat dakwaan Kelantan masih menghadapi masalah air, namun pelaksanaan tarif air akan diteruskan di negeri ini.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nasruddin Daud berkata, kerajaan negeri akan meneruskan pelaksanaan itu berikutan penyelarasan dilaksanakan di seluruh negara.
Beliau berkata demikian kepada media selepas berlangsung majlis solat hajat di Jambatan Tendong, di sini, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan Madani Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menggesa kerajaan negeri menangguhkan kenaikan tarif air berikutan kemudahan itu masih belum sempurna.

Kerajaan Kelantan sebelum ini telah menaikkan tarif air sebanyak 23 sen yang berkuat kuasa pada Khamis lepas.
Ia adalah susulan pada 17 Januari lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan kadar tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan yang berkuat kuasa 1 Februari. – HARAKAHDAILY 5/2/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!