Minuman elak strok haba

Kandungan air yang banyak dalam buah tembikai mampu menurunkan suhu badan ketika cuasa panas. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

ALOR SETAR: Tidak disangkal cuaca panas melampau boleh menjejaskan kesihatan serta boleh mengakibat seseorang itu diserang strok haba.

Justeru, orang ramai dinasihatkan agar mengambil penghidratan yang cukup untuk menyejuk dan menyegarkan badan.

Beberapa jenis minuman disyorkan baik kepada badan terutama menghadapi cuaca panas, antaranya air kelapa muda.  

- Advertisement -

Air kelapa muda menurut jiwasihat.com, bukan sahaja mampu mengembalikan suhu badan ke paras normal, malahan mengandungi elektrolit yang boleh membantu mengembalikan ion tubuh yang hilang akibat proses dehidrasi ekoran cuaca panas.

Ia kaya dengan kandungan potasium, magnesium, kalsium, sodium serta vitamin B kompleks yang mampu mengawal tekanan darah, mengurangkan kekejangan otot serta meningkatkan selera makan dan minum ketika cuaca panas.

Cadangan seterusnya air limau  atau terkenal dengan panggilan ‘summer drink’  di negara bermusim panas. 

Air limau mengandungi asid sitrat, vitamin C, vitamin B, riboflavin, kalsium dan magnesium yang mampu memberi kesegaran pada cuaca panas selain ia mudah disediakan.

Ia juga boleh dicampur bersama daun pudina, garam dan lada malah sesetengah orang memasukkan jintan manis, serbuk ketumbar, lada hitam dan lain-lain untuk menambah kesegaran. 

Air kelapa muda bagi untuk mengekakan hidrasi dalam badan terutama dalam keadaan cuaca panas.

Seterusnya air soda serai yang dicampur air aiskrim soda, laici, serai, limau, daun pudina, limau nipis, asam boi dan ais batu.

Minuman ini bukan sahaja menyegarkan serta menyelerakan deria rasa anda ketika cuaca panas ini malah campuran serai akan menjadi ejen antioksidan meningkatkan kesegaran air.

Air tebu juga antara minuman manis sejuk terbaik untuk menyegarkan diri pada cuaca panas, selain mengandungi pelbagai jenis nutrisi yang baik untuk kesihatan. 

Ia juga merupakan minuman tenaga yang membantu membina plasma dan mengatasi masalah dehidrasi.

Campuran daun pudina mampu meningkatkan kesegaran air semasa diminum ketika cuaca panas.

Selain itu, jus buah-buahan juga digalakkan diambil ketika cuaca panas ini, contohnya jus tembikai, kerana kandungan air yang banyak dalam buah ini mampu menurunkan suhu badan.

Dalam keadaan cuaca panas, badan manusia memerlukan kandungan air yang bertepatan bagi mengelakkan dehidrasi yang boleh menyebabkan strok.

Jus tembikai ini bukan sahaja enak dan manis tetapi memberi hidrasi serta nutrisi yang secukupnya ketika cuaca panas. 

Tembikai adalah antara buah-buahan yang mengandungi kandungan air yang tinggi (92 peratus) di mana segelas jus tembikai tanpa gula akan memberi tubuh anda kekal berhidrat pada cuaca panas.

Akhir sekali, minuman paling popular dan menjadi pilhan ramai ialah air masak (kosong) yang dibotolkan. 

Ketika musim panas, tubuh memerlukan lebih banyak air untuk menangani haba dan dengan meminum air masak atau yang dibotolkan sangat penting untuk anda kekal berhidrat. 

Pastikan minum sekurang-kurangnya lapan gelas air atau lebih untuk mengelakkan komplikasi yang teruk seperti strok haba.  HARAKAHDAILY  5/2/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!