Percubaan etnosid padam sejarah orang Melayu

Mohd Hamdan Mohd Sharif
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usaha pengiktirafan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak UNESCO lebih dilihat sebagai percubaan pemusnahan budaya atau etnosid, berat sebelah dan tindakan terancang memadamkan sejarah dominasi kewujudan orang Melayu di negara ini, selain menyambung legasi penjajah British.

Ketua Penerangan Berjasa, Mohd Hamdan Mohd Sharif berkata, kenyataan Nga Kor Ming berkenaan cadangan agar Kampung Baru Cina di Selangor itu dan beberapa lagi di Malaysia termasuk di Pulau Pinang  dijadikan tapak UNESCO adalah amat menjengkelkan.

- Advertisement -

“Tindakan berat sebelah dan semangat kecinaan yang begitu menebal. BERJASA tidak terkejut dengan kenyataan tersebut, dan kami melihat ia adalah satu tindakan bersifat etnosid,” katanya mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan itu.

Etnosid atau dalam bahasa Inggerisnya, Entnocide merujuk terma dari pakar sejarah Prof Dato’ Dr Murad Merican yang bermaksud penghapusan identiti etnik secara terancang sejak dahulu lagi bagi mengangkat naratif orang-orang Cina yang membangunkan Selangor dan Kuala Lumpur khususnya.

Tambah beliau, ia adalah percubaan untuk cuba memaksa identiti kebudayaan mereka (Cina) semata-mata, yang mana hal ini sekali gus mengenepikan naratif kebudayaan orang Melayu sebagai pihak asal yang membangunkan Kuala Lumpur dan Selangor.

“Kemudian (orang Melayu) telah dihalau secara terancang untuk duduk di pinggir-pinggir bandar yang membangun. Sejak dari dahulu lagi memang terdapat  ‘white paper’ yang menggunakan migrasi orang Cina melalui kampung baharu untuk mewujudkan bandar- bandar kolonial. 

“White paper’ tersebut telah meletakkan perancangan bandar dan kemudahan yang dinikmati oleh orang Cina dan mana-mana orang yang ingin berasimilasi ke dalam identiti bandar kolonial itu, yang membawa identiti yang lain dari identiti sebenar tanah berdaulat ini. 

“Kajian terperinci ada dijalankan IRIS Institute mengenai Pembandaran Kolonial ini. (Sedangkan) sekian banyak Kampung Melayu yang wujud ratusan tahun lebih awal di seluruh tanah air, langsung tidak diambil kisah. 

“Jika beliau mengatakan ia wajar atas dasar sejak tahun 1948 Kampung Baru Cina telah wujud, maka kampung-kampung dan penempatan Melayu di Selangor, Kuala Lumpur dan Semenanjung terutamanya, lebih layak dan utama untuk dijadikan World Heritage. 

“Malah, Kampung Baru Melayu Kuala Lumpur lebih layak untuk diangkat terlebih dahulu. Di Pulau Pinang misalnya, kampung Batu Uban yang merupakan identiti asal Pulau Pinang jauh lebih awal dari penempatan Kampung Baru Cina, jelas Mohd Hamdan. 

Namun akuinya, pihak-pihak berkenaan langsung tidak diambil sebarang usaha pemuliharaan warisan sejarah dan identiti negara tersebut tetapi yang mereka fokuskan hanyalah Kampung Baru Cina. 

“Kenapa berat sebelah? DAP mengakui ia adalah parti demokrasi semua kaum kononnya, tetapi tindakan mereka semuanya berkisar satu bangsa sahaja. Tambahan lagi, lebih 500 warisan sejarah yang mempunyai identiti penduduk asal dibiarkan begitu sahaja tanpa usaha serius pemuliharaan dan pemeliharaan. 

“Malah, pembangunan melampau dan projek tambak laut yang dibangunkan di selatan Pulau Pinang turut memberi kesan langsung kepada kewujudan dan kelangsungan kampung-kampung Melayu yang masih berbaki hari ini,”  bidasnya.

Kampung Baru Cina menurut Mohd Hamdan, wujud atas dasar penempatan semula dan dasar kolonial British yang menyebabkan berlaku polarisasi kaum teruk serta membarah hingga kini serta dasar pecah dan perintah.

Semua itu kata beliau, menyebabkan kekayaan dan ekonomi, tanah serta hasil bumi dikuasai satu golongan dan yang lain menerima kesan berpanjangan sepertimana perjuangan DAP juga telah lama berkaitan tuntutan melampau mereka di Perak. 

Mohd Hamdan merujuk tuntutan 999 tahun geran tanah untuk Kampung Baru Cina, selain siri pencerobohan tanah yang berleluasa di Raub turut dipertahankan serta isu pengambilalihan Tanah Rizab Melayu di Manjung.

Selain juga katanya, berkenaan pembinaan rumah ibadat di atas tanah Kerajaan di sekitar Ipoh yang tiada sebarang tindakan walaupun notis telah dikeluarkan di mana jika semua ini digabungkan, dapat kita fahami perjuangan sebenar DAP.

“Justeru, saya menyeru kepada rakyat Malaysia umumnya untuk menolak tindakan racis DAP yang semakin melampau dari hari ke hari ini,” katanya.  HARAKAHDAILY  5/2/2024

- Advertisement -