Exco bantu selesai masalah petani

Razali Saad (dua dari kanan) turun padang bagi mendengar dan membantu menangani masalah petani di Wang Ulu dan Jejawi Dalam, Arau, Perlis pada hari ini, 3 Feb 2024.
- Advertisement -

ARAU: Cuaca panas yang berpanjangan di Perlis pada ketika ini  menyebabkan petani di Wang Ulu dan Jejawi Dalam mengalami kesulitan mendapatkan sumber air untuk tanaman padi.

Mengenali keperluan mendesak itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad, mengambil langkah proaktif dengan turun ke lapangan untuk meninjau situasi tersebut

- Advertisement -

“Saat ini, padi dalam fasa awal perkembangan dan sangat memerlukan air untuk terus tumbuh dengan baik,” kata Razali ketika ditemui HarakahDaily, di sini, hari ini.

Sebagai respons awal terhadap masalah ini, Razali mengarahkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk menyediakan bantuan berupa pinjaman mesin pam air kepada petani di kawasan tersebut.

“Pinjaman mesin pam air ini diharapkan dapat membantu mengatasi kekurangan air yang dialami oleh petani dan memastikan tanaman padi mereka tetap subur. 

“Setakat ini kita beri pinjaman sebanyak 25 biji kepada mereka,” tambahnya.

Menurutnya, keputusan itu disambut baik oleh komuniti petani setempat yang berharap agar bantuan tersebut dapat memberikan kelegaan kepada mereka yang menghadapi cabaran ini. 

“Dengan tindakan proaktif ini, diharapkan krisis air yang dihadapi oleh petani dapat segera diatasi dan pertanian di kawasan tersebut dapat terus berkembang dengan lancar,” katanya.  HARAKAHDAILY  3/2/2024

- Advertisement -