Jangan kesampingkan program tarbiyah

Program tarbiyah adalah jiwa dan nyawa gerakan Islam yang diperjuangkan PAS.
- Advertisement -

ALOR GAJAH: Walaupun banyak program dianjurkan oleh PAS di semua peringkat, namun program tarbiyah harus diberi keutamaan dan jangan dikesampingkan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman berkata, ia adalah kerana program tarbiyah adalah jiwa dan nyawa gerakan Islam.
“Kita tahu memang sekarang ini kita meriah dengan program, alhamdulillah. Menunjukkan parti kita aktif. Sehingga ada ahli tak tahu mana satu nak pergi. 

- Advertisement -

“Namun, program tarbiyah seperti ini harus diberi keutamaan kerana program tarbiyah ini untuk membentuk fikrah dan pemikiran kita agar selari dengan kehendak Islam dan parti,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Melaka berkata demikian semasa menyampaikan ucapan alu-aluan di dalam program Ijtimak Tarbawi peringkat negeri yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, hari ini.

“Ijtimak Tarbawi ini akan menjadi acara bulanan di mana setiap kawasan akan menjadi tuan rumah kepada program itu. 

“Program-program seperti ini menjadi satu peluang untuk kita berkumpul, pemimpin dapat bertemu dengan ahli, ahli dapat mendengar amanat pimpinan,” kongsinya.

Ustaz Imran Abdul Rahman

Dalam program itu, Pesuruhjaya PAS Melaka yang juga Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail telah membentangkan kertas kerja bertajuk Pendekatan PAS Dalam Masyarakat Majmuk oleh Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Melaka, Ustaz Wan Zahidi Wan Ismail, Ketua Dewan Ulamak negeri, Maulana Md Khairi Abd Aziz dan Ketua Dewan Muslimat negeri, Kintan Man dengan PAS Kawasan Alor Gajah telah bertindak sebagai tuan rumah.

Menurutnya,  beberapa program yang memang menjadi teras Lajnah Tarbiyah telah dirancang dalam rangka untuk membentuk dan membina pimpinan dan ahli yang mantap dari segi tarbiyahnya.

“Kita telah merancang dan menyusun agar kita dapat adakan Liqa’ Fikri dua kali setahun. Selain itu kita akan buat jtimak nuqaba, daurah, kuliyah haraki, muqayyam dan rehlah yang telah kita gariskan.

“Kita juga berharap ahli dan pimpinan di semua peringkat dapat menyambut baik program yang telah kita susun ini,” katanya.  HARAKAHDAILY  3/2/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!