Kolaborasi Andalusia, HLISB sasarkan 80,000 jemaah 1446H

Ida Riswana (tiga dari kiri) dan Dafinah (tengah) di samping (dari kiri) Razli, Md Daud, Hamzah, Zalman dan Andrew dalam dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara HLISB dan Andalusia yang di Auditorium, Menara Hong Leong, Kuala Lumpur, pada hari ini, 17 Jan 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali pakej ibadah haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) kini berkolaborasi bersama Hong Leong Islamic Bank (HLISB) bagi membantu lebih ramai umat Islam di Malaysia, merealisasikan impian mengerjakan rukun Islam kelima, ibadah haji termasuk umrah, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Pengarah Andalusia Travel & Tours, Ida Riswana Idris berkata, pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai kerana HLISB akan menyediakan pembiayaan mudah, digital dan patuh syariah untuk umat Islam.

- Advertisement -

Susulan kolaborasi bersama HLISB, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. terus komited untuk mengekalkan dan penambahbaikan mutu perkhidmatan kepada jemaah umrah yang dianggarkan bakal mencecah 80,000 orang setahun pada musim umrah 1446 Hijrah.  

“Dalam mengharungi cabaran kelembapan ekonomi, Andalusia tetap optimis bahawa permintaan dari umat Islam untuk mengerjakan ibadah umrah tetap tidak berkurang dan ramai di antaranya mengerjakan ibadah ini berulang-ulang kali.

“Kami percaya kolaborasi hari ini di antara HLISB dan Andalusia sangat tepat pada waktunya di mana umat Islam boleh mendapatkan cara yang memudahkan mereka untuk mencapai objektif mereka mengerjakan ibadah umrah dan haji.

“Kami juga yakin pembiayaan berdasarkan kepada hukum ‘murabahah tawarruq’ ini membolehkan mereka yang layak di bawah hukum istito’ah untuk pergi umrah atau haji dengan cara pembayaran ansuran atau pembayaran tertangguh” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara HLISB dan Andalusia yang di Auditorium, Menara Hong Leong, Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Dafinah Ahmed Hilmi; Pengerusi Lembaga Pengarah HLISB, Dato Seri Dr Hamzah Md Kassim; Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel, Dato’ Daud Md Che Ngah; Ahli Jawatankuasa Syariah HLISB, Dr Razli Ramli; Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Hong Leong Bank (HLB), Zalman Zainal; dan Pengarah Urusan Pinjaman Peribadi HLB, Andrew Jong.

Sehubungan itu, Ida Riswana berkata sehingga hari ini, seramai 270,000 orang iaitu 1.8 peratus rakyat Malaysia beragama Islam telah mengerjakan ibadah umrah setiap tahun. 

Bagi ibadah haji pula, ujarnya, peratus yang boleh mengerjakan haji sangat terbatas disebabkan oleh kuota haji dari Arab Saudi dan dikawal di bawah seliaan Lembaga Tabung Haji (LTH). 

“Peluang untuk menunaikan haji sangat sukar kerana bakal jemaah perlu mengikut giliran yang telah ditetapkan.

“Ada ramai umat Islam di Malaysia yang tidak pernah mengerjakan ibadah umrah atau haji walaupun di akhir hayat mereka, mereka berjaya mengumpul kewangan secukupnya,” jelasnya. 

Sehubungan itu, Ida Riswana memberitahu, perancangan kewangan yang dilaksanakan bersama HLISB dapat dimanfaatkan oleh umat Islam terutamanya mereka yang mempunyai pendapatan tetap.

“Hal ini kerana skim pembiayaan yang ditawarkan oleh HLISB dapat mendisiplinkan umat Islam dalam merancang waktu mengerjakan ibadah umrah dan haji pada usia muda dengan komitmen bayaran bulanan serendah RM125 sahaja selama tahun,” kongsi beliau. 

Sementara itu, Dafinah berkata, melalui kerjasama itu pihaknya akan membentuk penyelesaian kewangan yang memenuhi keperluan gaya hidup khusus pelanggan Islamnya.

“HLISB telah menawarkan Akaun Pay & Save-i dan Pembiayaan Peribadi-i kepada semua yang ingin menunaikan ibadah umrah. 

“Akaun Akaun Pay & Save-I menyediakan keuntungan sehingga 4.5 peratus setahun ke atas baki akaun. 

“Akaun ini mempunyai ciri mata wang pelbagai, yang mana membolehkan perbelanjaan mata wang asing dengan kad debit HLB, mengeluarkan mata wang asing daripada ATM luar negara dan penukaran terus Ringgit Malaysia (RM) kepada mata wang asing pada kadar yang kompetitif melalui HLB Connect,” jelasnya. 

Beliau turut memberitahu bahawa, HLISB amat komited untuk membentuk penyelesaian kewangan yang memenuhi gaya hidup pelanggan masing-masing, selaras dengan janji kami untuk menjadi bank yang berpusatkan kepada keperluan pelanggan.

“Dalam mengembangkan keupayaan syariah kami, kami ingin menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan inovatif yang memastikan pelanggan Islam tidak perlu bimbang dan risau dalam memenuhi kewajipan agama mereka,” katanya.  HARAKAHDAILY  17/1/2024

- Advertisement -