Sejauh mana negara tidak berdepan krisis beras?

Musoddak Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi penjelasan mengenai statistik pengeluaran Beras Putih Tempatan (BPT) agar negara tidak berhadapan dengan krisis beras yang menimbulkan kebimbangan rakyat susulan kenaikan mendadak harga bekalan itu.

Senator Musoddak Ahmad berkata, melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), satu data pengeluaran padi secara komprehensif mengikut negeri perlu turut dikemukakan bagi meyakinkan rakyat mengenai masalah tersebut.

- Advertisement -

“Meminta kerajaan melalui KPKM untuk menyatakan statistik pengeluaran BPT mengikut negeri-negeri bermula dari tahun 2018 sehingga Oktober 2023,” katanya dalam  sesi pertanyaan lisan di Persidangan Dewan Negara, di sini, hari ini.

Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin menjelaskan bahawa pengeluaran BPT sentiasa dihasilkan dengan jumlah pengeluaran melebihi satu juta tan metrik setiap tahun bermula 2018.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mendedahkan statistik pengeluaran BPT mengikut negeri bermula tahun 2018 sehingga Oktober 2023 kepada sidang Dewan Negara sebaliknya hanya diberikan kepada wakil rakyat secara bertulis.

“Mulai tahun 2018 sehingga Oktober 2023, pada 2018 BPT tan metrik ialah 1,699,766; 2019 sebanyak 1,516,341; 2020 sebanyak 1,624,468; 2021 pua sebanyak 1,686,368; 2022 1,574,960 dan sehingga Oktober 2023 adalah 1,181,911.

“Sementara, statistik pengeluaran BPT mengikut negeri mulai tahun 2018 sehingga Oktober 2023 mungkin secara terperincinya, saya akan berikan soalan bertulis tak payah bacakan setiap satu ikut negeri dan ikut tahun,” katanya.

Dalam soalan tambahannya pula, Musoddak meminta kerajaan menjelaskan mengenai perkembangan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang dipengerusikan Foong Hin.

“Usaha tersebut membabitkan beberapa kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan banyak lagi termasuk agensi kerajaan yang lain,” Foong Hin.

“Setakat ini kita sudah siap laporan itu dan untuk kes-kes dimana yang ada isu kesalahan dari segi undang-undang kita telah menyerahkan semua bukti dan kertas siasatan itu kepada pihak pendakwaraya untuk ambil tindakan sewajarnya,” katanya.  HARAKAHDAILY 12/12/2023

- Advertisement -