Tiba-tiba DAP menjadi badut dalam PH

- Advertisement -

AMAT sukar untuk kita melihat suasana sebegini terjadi kepada DAP. Setelah agak selesa menunggang PKR dan BN dalam PH, mereka merasa seperti abang besar, kini kelihatannya kedudukan mereka terhuyung hayang. Mereka melihat ada gangguan besar dalam harapan dan cita-cita mereka. Oh, lupa satu lagi parti, PAN yang setia menjadi terompah kayu mereka. Bingitnya bunyi hentakan itu ya Allah, tetapi guna hanya dibawa ke jamban. 

Lim Kit Siang (LKS) telah mengeluarkan kenyataan berkenaan Undang-undang Malaysia, tidak pernah menghalang bukan-Melayu Islam untuk menjadi Perdana Menteri. Anehnya, kenyataan itu dikeluarkan di Manchester, bukan ketika PRK Kemaman atau dalam mana-mana kempen. Begitulah cita-cita besar mereka yang dipendamkan. PDRM sudah mengeluarkan kenyataan yang LKS akan dipanggil untuk memberi keterangan. 

Akan tetapi satu cerita menarik lain yang berlaku sehari dua ini. Satu ucapan oleh Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang mendakwa PAS tidak tahu menghormati BERSATU dan bakal meninggalkan BERSATU. Ini kerana kata beliau BERSATU semakin melemah dan kemungkinan TS Muhyiddin tidak lagi akan menjadi Perdana Menteri. PAS dilihat kuat dan menguasai kawasan Utara Semenanjung Malaysia. Namun PAS haruslah tahu menghormati semua pihak untuk bersedia menjadi parti bagi semua bangsa. 

Kemudian ada satu lagi berita yang disiarkan pada hari yang sama melaporkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Hasmuni Hassan sebagai berkata, kenyataan Lim Kit Siang berkenaan Perdana Menteri dari kalangan bukan-Melayu Islam sebagai satu perbuatan yang tidak pernah belajar daripada sejarah. Ia melukakan hati dan tidak menghormati hubungan sesama rakan dalam PH.

Bagi beliau ini menunjukkan sikap rasis DAP dan menyifatkan LKS seperti sedang menyalakan api bagi ‘membakar jambatan’ perpaduan dalam PH. Tambah beliau lagi, Umno marah dengan sikap LKS yang tidak habis-habis untuk menjadi Perdana Menteri, sedangkan menghormati perpaduan dalam PH sepatutnya menjadi agenda lebih utama.

Kelakarnya DAP di sini ialah apabila mengajar PAS untuk menghormati orang lain sedang dalam masa yang sama, bekas ketua mereka sendiri yang sudah mengisytiharkan bersara, masih melalak-lalak mahukan kerusi Perdana Menteri untuk mereka tanpa mengira perasaan orang lain. Di Pulau Pinang pula, negeri di mana mereka berkuasa, mereka tidak memberikan Peruntukan kepada pembangkang yang memilih PN. Apa yang mahu mereka namakan sikap sebegitu? Hutang air kepada Kedah, adakah sudah dilunaskan? Ini hanya sebahagian contoh kejahatan DAP apabila mendapat kuasa.

Mereka jelas semakin bimbang kerana dalam ucapan Liee itu, langsung tidak disebutkan mengenai kemenangan PAS di Kemaman. Majoriti rakyat melihat ia adalah satu langkah perubahan bagi Malaysia di masa depan. Mereka takut dengan hambatan bayang-bayang sendiri, apatah lagi calon bakal Perdana Menteri itu adalah dari PAS yang mana PAS sudah terlalu masak dengan perangai DAP semenjak dari dahulu lagi. Kerana DAP tidak reti bahasa menghormati rakan kongsilah, maka beberapa kali pakatan antara PAS dan DAP terputus.

Ketika Barisan Alternatif, DAP yang keluar kerana peristiwa 11 September. Dalam Pakatan Rakyat, Langkah Kajang adalah pemecah hubungan politik PAS dan DAP. Sekarang mereka mahu mengajar PAS menghormati rakan? Lihat sahaja apa yang LKS katakan itu. Bukti sungguh nyata. Badut betul.

MOHD NASIR ABDULLAH
12 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 12/12/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -