Alkisah migran di Australia, Belanda dan Malaysia

- Advertisement -

AUSTRALIA hari ini mahu mengurangkan kemasukan migran sebanyak setengah daripada jumlah sedia ada kepada tahap yang lebih ‘sustainable’ menurut Perdana Menteri Anthony Albanese. Menteri Dalam Negeri, Clare O’Neil pula menyatakan strategi ini diambil demi masa depan Australia.

Dua minggu lepas, ketika Malaysia sedang riuh dengan ‘cercaan Melayu malas’ seorang migran, pilihan raya Belanda melihat kemenangan populis Anti Islam Geert Wilders yang menang atas janji mahu menutup sempadan dan mengharamkan al-Quran. Kemenangan itu juga dilaporkan BBC sebagai pernyataan ketidakpuasan hati terhadap pendatang dan pengurusan pelarian ke dalam negara itu oleh kerajaan terdahulu dan, bakal Perdana Menteri, Geert Wilders mahu “selesaikan isu tsunami pelarian dan migrasi”.

“Kemenangan itu mengabsahkan perasaan mahu memelihara identiti nasional yang semakin kuat” kata Marine Le Pen terhadap kejayaan Geert Wilders. Beliau pula dikatakan berkemungkinan memenangi pilihan raya Presiden Perancis bagi tahun 2027 nanti. Le Pen sebelum ini kalah kepada Macron pada pilihan 2022 namun berjaya membawa parti ekstrem kanannya menjadi lebih ‘mainstream’.

Sentimen anti pendatang juga semakin kedengaran di Indonesia. Majalah Time minggu lepas melaporkan amaran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai ratusan pelarian Rohingya yang perlu diselamatkan sedang hanyut di Laut Andaman. Warga Acheh pula dikatakan tidak lagi mahu menerima pelarian Rohingya atas beberapa sebab sehinggakan 150 warga Pulau Sabang dilaporkan bertempur dengan polis pada Rabu lepas, mahu pelarian Rohingya dipindahkan. Presiden Joko Widodo juga berjanji ‘kehendak warga tempatan diberi keutamaan’.

Dan mungkinkan juga ‘serangan dan hujatan’ yang dilemparkan kepada ‘Makcik Kemboja’ sehingga perniagaan beliau diboikot, berbelas laporan polis dibuat dan akhirnya beliau dan anak lelakinya dihadapkan ke mahkamah seperti yang dilaporkan dua hari lepas boleh dibaca sebagai referendum kepada sentimen tidak puas hati terhadap migran yang dilihat sering mengambil kesempatan sehingga melanggar undang-undang tempatan malah dikatakan telah melakukan beberapa siri penghinaan terhadap orang Melayu sejak sekian lama, dengan pelbagai label seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini?

Mungkin tidak keterlaluan juga jika ianya dilihat sebagai referendum tidak bersetuju dengan dasar liberal menerima migran sebagai warganegara Malaysia. Orang Melayu kini lebih vokal terhadap kriteria yang perlu dipenuhi sebelum memberi hak kerakyatan kepada migran. Dan ia tentunya tidak boleh bertentangan dengan identiti kebangsaan. Antara isu pokok yang dibangkitkan Tun Mahathir sebelum ini. Benarkah Tun Mahathir juga pernah menolak dasar Jus Soli suatu ketika dulu?

Tentunya kehendak warga yang bakal melebihi 70 peratus penduduk Malaysia menjelang 2050 kelak seperti yang pernah dikeluarkan oleh PEW Research menerusi kajian badan itu pada tahun 2015 perlu diberi perhatian penggubal dasar dan pemimpin politik tempatan. Dapatan ini ada dikongsikan penulis secara mendalam sebelum ini dalam esei yang bertajuk ‘Parti Sekular & Realiti 2050 Malaysia’ dalam buku ‘Otak Melayu Aku‘ terbitan 2021.

Persoalannya, sehingga bila pula kita masih mahu berpolemik mengenai kewujudan warganegara yang dengan penuh mendabik dada mengaku tidak mampu berbahasa kebangsaan seperti kebanyakan warga tempatan seperti yang berlaku baru-baru ini?

Perlukah kita mempersalahkan penjawat awam kita, seperti tindakan sesetengah pihak terhadap pegawai imigresen terbabit, kerana tidak mampu berbahasa Swahili contohnya, dan tidak mampu melayan warga kita yang dibesarkan dan bersekolah di Kenya?

Australia, demi masa depan negara itu, mahu pelajar antarabangsa yang berjaya mendapat perakuan ‘ratings’ bahasa Inggeris yang lebih tinggi sebagai pra-syarat untuk pemberian Visa Pelajar.

Demi masa depan Malaysia pula, tentunya keutamaan dasar dan nilai-nilai kebangsaan seperti ini harus ditekankan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan YB Theresa Kok dalam ‘keghairahan’ mereka membantu bukan warganegara, dengan puluhan ribu permohonan, mendapat kerakyatan Malaysia. 

Tentunya juga mereka yang mahu berkawan dengan Zionis bukanlah ciri-ciri yang layak mendapat kewarganegaraan Malaysia!

HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan, Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) & Penulis Buku Esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’ – HARAKAHDAILY 12/12/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -