‘Percepatkan siasatan terhadap Aman Palestin’

Musoddak Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta mempercepatkan siasatan terhadap  sebuah syarikat pertubuhan amal yang menjalankan kutipan derma untuk Palestin  sabit dakwaan penyalahgunaan dana awam.

Senator Musoddak Ahmad berkata, seluruh rakyat mahukan bantuan yang disumbangkan melalui Aman Palestin dapat disampaikan segera ketika penduduk Gaza kini sedang berhadapan dengan serangan bom selepas melalui gencatan senjata sementara berakhir baru-baru ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, dalam soal solidariti Palestin semua pihak tanpa mengira latar belakang politik, agama dan bangsa terus menyatakan sokongan terhadap perjuangan bagi membebaskan negara itu daripada tekanan serta penjajahan rejim Yahudi yang tidak berperikemanusiaan.

“Jadi, ini masih dalam siasatan SPRM, maka  kita serahkan kepada pihak SPRM yang buat siasatan ini. Walau bagaimanapun, mungkin dana-dana yang ada dalam akaun mereka itu boleh pihak SPRM melepaskan segera untuk disampaikan kepada penduduk di Gaza terlebih dahulu.

“Saya dapati d iantara mereka ada yang sanggup menjual motosikal, ada yang sebelah hulu sana – Baling sanggup menjual kerbau dan ada yang menjual barang kemas untuk disumbangkan rakyat palestin, inilah rakyat Malaysia yang suka memberi derma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Senator Husin Ismail mengenai sekatan dana awam berjumlah RM70 juta oleh SPRM pada sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Terdahulu, Musoddak mencadangkan agar kerajaan  bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) dapat mencetuskan gelombang sokongan rakyat terhadap perjuangan rakyat Palestin bagi meningkatkan lagi sumbangan dari Malaysia.

Beliau membangkitkan perancangan kerajaan melalui Wisma Putra untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk dan usaha bagi membangunkan semula wilayah Gaza yang kini sudah musnah akibat kekejaman rejim zionis  mengebom dan membunuh puluhan ribu  penduduk.

“Dalam perkara ini, saya ingin mengetahui perancangan Wisma Putra bagi mengerakkan sokongan pasca peperangan di sana saya yakin malaysia telah melakukan pelbagai usaha demi menyokong perjuangan rakyat Palestin meskipun terdapat perbezaan sesama kita.

“Saya juga mencadangkan supaya kerajaan bersama NGO untuk melakukan gelombang solidariti palestin untuk kali kedua untuk meningkatkan jumlah bantuan kemanusiaan dan keperluan asas daripada rakyat malaysia yang cintakan palestin,” katanya.  HARAKAHDAILY 5/12/2023

- Advertisement -