Perang tak halang Palestin hadapi kelayakan Piala Dunia 

Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) menjadi ahli penuh FIFA pada tahun 1998 dan telah mencapai beberapa kejayaan di peringkat serantau. (FOTO FAIL: AFP)
- Advertisement -

AMMAN, Jordan: Makram Daboub mungkin bergelut untuk menyediakan pasukan Palestin bimbingannya bagi permulaan kelayakan Piala Dunia 2026 tetapi beliau  berasa selesa, sekurang-kurangnya buat masa ini, bahawa pemainnya yang terperangkap di Gaza masih selamat.

Ketua jurulatih pasukan bola sepak negara itu berhasrat memasukkan Ibrahim Abuimeir, Khaled Al-Nabris, dan Ahmed Al-Kayed dalam kem latihan di Jordan menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Lubnan Khamis depan dan Australia pada 21 Nov ini.

- Advertisement -

Namun mereka tidak dapat keluar dari Gaza kerana perang Israel-Hamas, yang kini masuk  bulan kedua.

“Setakat ini mereka baik-baik saja,” kata Daboub kepada Associated Press (AP). “Bagaimanapun, ramai saudara mereka telah meninggal dunia akibat pengeboman Israel,”

Bagaimanapun, dua pemain dari Gaza, Mohamed Saleh dan Mahmoud Wadi yang berpangkalan di Mesir, dijangka menyertai pasukan Palestin di Jordan.

Daboub, yang berasal dari Tunisia, mengakui sukar untuk pemain memberi tumpuan kepada bola sepak manakala ramai yang mempunyai keluarga yang berasa dalam bahaya di Gaza.

Dengan kematian dan kemusnahan di Gaza, pemain berada dalam keadaan psikologi yang sukar,” kata Daboub.

Walau bagaimanapun bagi Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Palestin, Susan Shalabi, tidak timbul persoalan bahawa pemain dan rakyat mahu perlawanan itu diteruskan.

“Ini adalah insan yang mahu didengari dan dilihat oleh seluruh dunia, mahu hidup normal seperti orang lain, jadi orang ramai mengambil berat tentang pasukan kebangsaan mereka,” kata Shalabi kepada AP

“Ia mewakili keinginan untuk diiktiraf sebagai negara yang bebas dan berdaulat.”

Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) menjadi ahli penuh FIFA, badan induk antarabangsa bola sepak, pada tahun 1998 dan telah mencapai beberapa kejayaan di peringkat serantau.

Muncul di Piala Dunia pada 2026 akan menjadi impian bagi pasukan yang tidak pernah hampir mara ke pusingan akhir menerusi laluan kelayakan Konfederasi Bola Sepak Asia.

Ada sedikit lagi harapan kali ini kerana peruntukan kelayakan automatik Asia telah meningkat daripada empat tempat pada 2022 kepada lapan pada 2026, apabila kejohanan itu akan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

Pasukan Palestin, yang mencapai ranking tertinggi FIFA 73 pada 2018, muncul di Piala Asia pada 2015 dan 2019 dan telah layak ke kejohanan benua 2023 yang akan datang di Qatar.

“Tiada perlawanan yang anda boleh menangi lebih awal,” kata Daboub. “Tetapi kami mempunyai peluang yang baik untuk mara ke pusingan seterusnya kelayakan Piala Dunia.”

Untuk menjadi antara 18 pasukan yang mara ke peringkat kelayakan Asia seterusnya, Palestin perlu menamatkan saingan di dua teratas kumpulan yang mengandungi Australia – dijangka menduduki tempat pertama – Lubnan dan Bangladesh. 

Mereka kini berada di kedudukan No. 96, lapan tempat lebih tinggi daripada Lubnan dan 87 di atas Bangladesh.

Palestin pada mulanya telah diundi untuk menjadi tuan rumah Australia untuk memulakan pusingan kelayakan ini, tetapi permainan telah dialihkan ke gelanggang neutral di Kuwait.

Persiapan telah pun tergendala kerana pemain tidak dapat keluar untuk menyertai kejohanan di Malaysia pada bulan lepas. 

Kini pasukan itu berpangkalan di Jordan untuk memastikan dapat melakukan perjalanan untuk permainan.

Kemenangan menentang Lubnan di Emiriah Arab Bersatu minggu depan, yang mana permainan itu juga telah dipindahkan dari Beirut kerana kebimbangan keselamatan,  akan menjadi satu langkah besar ke peringkat seterusnya.

“Kami akan melakukan yang terbaik,” kata Daboub. 

“Bola sepak adalah permainan paling popular di dunia. Ia menyatukan orang ramai. Kami bercita-cita untuk mencapai keputusan yang baik dan layak untuk menunjukkan identiti Palestin dan bahawa ini adalah rakyat yang berhak untuk hidup dan cintakan keamanan.” – HARAKAHDAILY 10/11/2023

- Advertisement -