PTSS landasan kecemerlangan ekonomi negara

Tuanku Tengku Fauziah, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah dalam Istiadat Konvokesyen Kali Ke-15 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di Pauh Putra, Arau, Perlis pada 6 Nov 2023.
- Advertisement -

ARAU: Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) merupakan antara institusi pendidikan Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) yang memberi tumpuan kepada perkembangan kemahiran teknikal dan profesional, yang merupakan landasan bagi kecemerlangan ekonomi negara.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail  sempena Istiadat Konvokesyen Kali Ke-15 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di Pauh Putra, di sini pada Isnin. 

- Advertisement -

Tuanku Syed Faizuddin Putra mengiringi Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid yang  berkenan berangkat menyempurnakan perasmian majlis istiadat konvokesyen berkenaan.

Keberangkatan tiba Raja  Perempuan Perlis  disambut oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; dan Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dalam teks berkenaan, Baginda bertitah bahawa pendidikan TVET tidak hanya melibatkan pembelajaran teori, tetapi juga amalan praktikal.

“Selain dari aspek teknikal, pendidikan TVET juga mengajar nilai-nilai etika dan profesionalisme. 

“PTSS juga memainkan peranan sebagai salah satu institusi pendidikan di Negeri Perlis yang membekalkan graduan dengan kemahiran teknikal dan profesional yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pasaran kerja.

“Dengan pengetahuan dan kemahiran, saudara saudari harus menjadi penggerak utama dalam industri tempatan dan antarabangsa. Tanamkan cita-cita untuk mencipta peluang pekerjaan, memacu pertumbuhan ekonomi, dan membantu negara mencapai matlamat pembangunan berteraskan kepada ilmu pengetahuan dan teknologi,” titah baginda.

Terdahulu, Abdul Malek dalam ucapan aluan memaklumkan bahawa bagi memastikan pendidikan berkualiti, PTSS sentiasa berusaha memantau dan mengekalkan kecemerlangan para pelajarnya dalam pelbagai lapangan terutamanya dalam bidang akademik dan terbukti dengan keputusan peratusan kelulusan pelajar melebihi 99 peratus.  

“Aspirasi JPPKK dan PTSS untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga di dalam bidang lain seperti kepimpinan, sukan dan jati diri yang mampu membentuk sahsiah diri graduan,” ujar beliau.

Dalam majlis tersebut Tuanku Tengku Fauziah berkenan menyempurnakan Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Jabatan, Anugerah Pengarah, Anugerah Khas Ketua Pengarah dan Anugerah Di-Raja kepada 25 graduan yang diraikan.

Cucunda Baginda, Puteri Nurlin Syazwani adalah penerima Anugerah Khas Ketua Pengarah.

Tuanku Raja Muda pula menyampaikan Anugerah Diploma dan Sijil kepada 127 graduan dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Perdagangan, Jabatan Reka Bentuk dan Komunikasi Visual, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti; dan Sijil serta Kemahiran Khas Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti. – HARAKAHDAILY 7/11/2023

- Advertisement -