Stigma kad OKU anak autisme

Haryati Karim (tengah) bersama-sama anaknya, Hayyan ketika muncul sebagai ahli panel dalam program Superkids Sharing Session anjuran DXN di DXN Cyberville, Cyberjaya.
- Advertisement -

Sanggupkah ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang didiagnos mengidap autisme mengambil kad Orang Kurang Upaya (OKU) buat insan tersayang yang merupakan darah daging mereka sendiri?

Sementelah masih ada golongan ibu bapa yang mempunyai anak autisme enggan membicarakannya secara terbuka, justeru adakah pengambilan kad OKU untuk anak-anak autisme masih merupakan suatu stigma, khususnya di Malaysia?

Tambahan bagi orang Islam, agama yang syumul (menyeluruh) dan sangat menitikberatkan kebajikan umatnya, tidak memandang mereka sebagai golongan yang perlu dicicir kerana setiap dari kita sama dan mempunyai peranannya masing-masing.

- Advertisement -

Justeru, kebajikan golongan ini juga perlu dijaga dan mereka mempunyai hak untuk berkembang baik sama seperti insan lain, seperti yang disebut dalam kitab suci al-Quran (Surah Al-Fath, 48:17) yang bermaksud: 

 “Tidaklah menjadi salah kepada orang buta dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang kerana masing-masing ada uzurnya).” (Surah Al-Fath, 48:17)

Itulah pegangan seorang ibu kepada dua anak, Haryati Karim yang membuang stigma itu jauh-jauh, malah pekerja swasta berusia 38 tahun ini berharap golongan ibu bapa lebih bersikap terbuka dan tidak malu untuk mendapatkan kad OKU buat anak yang mempunyai masalah autisme.

“Sedar akan stigma dicop sebagai cacat dan sebagainya, ada segelintir ibubapa yang enggan mendaftarkan anak sebagai OKU,” akuinya.

Haryati di samping Hayyan yang didiagnos secara rasmi mengidap ‘mild autism’ seawal usia tiga tahun.

“Kad OKU banyak faedah untuk anak-anak (autisme), kenapa malu untuk mohon? Bukan perlu dipakai atas dahi sebaliknya hanya dikeluarkan jika perlu sahaja,” tambahnya

“Seperti anak saya, Hayyan apabila usianya mencecah 18 tahun kelak, dia akan menjalani pemeriksaan oleh doktor semula. 

“Jika dia okey, kad OKU akan ditarik balik dan dia akan menjalani kehidupan seperti individu normal yang lain,” katanya.

Haryati ditemui ketika muncul sebagai salah seorang ahli panel dalam program Superkids Sharing Session anjuran DXN di DXN Cyberville, Cyberjaya baru-baru ini.

Dunia terasa begitu gelap

Mengakui dunianya terasa begitu gelap apabila doktor mengesahkan anak bongsunya pemikik nama penuh, Muhammad Hayyan Hazrel Ezriq, disahkan doktor mempunyai masalah ‘mild autism’ (austisme tahap terkawal) ketika berusia tiga tahun.

“Setiap ibu bapa menginginkan yang terbaik buat anak-anak, justeru apabila Hayyan didignos secara rasmi saya memang berasa sangat sedih,” tuturnya. 

Hari Kesedaran Austisme Sedunia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa diraikan setiap tahun menjelang 2 April.

Namun, mujurlah disebabkan banyak kempen kesedaran mengenai autisme di Malaysia sejak akhir-akhir ini, Haryati sedar dia perlu mengambil langkah segera untuk memastikan anaknya  itu mendapat kehidupan berkualiti pada masa hadapan.

“Tipulah saya dan suami tidak bersedih, tetapi ia berlarutan selama seminggu sahaja. Selepas itu, kami terus mengatur langkah ke depan tentang apakah tindakan yang harus diambil.

“Mengikut saranan doktor, saya terus melakukan terapi pertuturan dan terapi cara kerja kerana ketika Hayyan berusia tiga tahun dia langsung tidak boleh bercakap… sebaliknya hanya menunjuk dengan jari jika inginkan sesuatu.

“Hayyan juga tiada ‘eye contact’ (tidak melihat tepat ke mata orang lain) jika kita bercakap dengannya, tetapi dia boleh bergaul dengan rakan sebaya dengan baik,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Selain menghantar ke pusat terapi di kedua-dua pusat rawatan swasta dan kerajaan, Haryati juga menghantar anaknya  itu ke sekolah sejak berusia tiga tahun, selain kelas renang pada usia lima tahun.

“Memang apabila kita anak kita didiagnos menghidap autisme atau digelar ‘anak istimewa’ tidak kiralah apa masalah sekalipun, kita perlu banyak berkorban daripada segi masa dan juga wang ringgit.

“Saya tahu (harganya) bukan murah untuk menghantar anak ke pusat terapi swasta, sekolah dan aktiviti tambahan yang lain, tetapi memikirkan semua itu membantu perkembangan Hayyan, saya usahakan juga.

“Tidak hanya itu, saya juga banyak mengikuti persatuan dan kumpulan sokongan anak-anak autisme di Facebook dan Instagram untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan ilmu terutama cara-cara melakukan terapi di rumah,” kongsi Haryati.

Usahanya membuahkan hasil apabila Hayyan berusia 4 tahun, anaknya itu mula boleh bercakap dan kini, pada usia 6 tahun dia sudah boleh berkomunikasi secara dua hala seperti kanak-kanak lain, selain mampu membaca dan mengira.

Rawatan alternatif

Bukan itu sahaja, selain rawatan dan terapi di hospital swasta dan kerajaan, Haryati juga mencuba pelbagai rawatan alternatif seperti urutan dan pengambilan suplemen.

“Urutan khas untuk kanak-kanak seperti Hayyan membantu untuk dia agar lebih bertenang dan mudah untuk bertutur.

“Saya juga memberi Hayyan supplemen seperti Spirulina, Ganocelium (GL) dan minyak kelapa dara  keluaran DXN untuk membantunya lebih fokus ketika belajar. 

“Selepas enam bulan pengambilannya memang nampak perubahan apabila dia lebih seronok untuk ke sekolah dan mudah menerima apa yang dipelajari,” katanya yang menambah bahawa suplemen DXN juga boleh dijadikan pemakanan tambahan dalam usaha menjadikan anak-anak lebih pintar dan bersemangat untuk belajar, selain mampu merawat ekzema.

Sebagai ibu yang memiliki anak ‘mild autism’, Haryati menggesa ibu bapa segera membawa anak berjumpa doktor jika anak mereka mempunyai perkembangan yang lewat seperti  pertuturan. 

“Golongan ibu bapa diharapkan jangan berada dalam fasa ‘indenial’ atau penafian terlalu lama kerana jika anak mereka benar-benar mempunyai masalah autisme. Ini kerana kelewatan mendapatkan rawatan dan terapi akan memusnahkan masa depan anak anda sendiri.

“Lagi cepat mendapat rawatan dan terapi, lebih banyak potensi anak akan berkembang. Jangan berputus ada, seboleh-bolehnya usahakan agar anak boleh berdikari dan hidup dengan masyarakat sebab kita tidak selamanya ada bersama mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/11/2023

- Advertisement -