Dedahkan negara, individu ugut PM isu Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mendedahkan negara yang membuat ugutan dan kritikan terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim susulan kelantangan membela hak Palestin.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, ketegasan yang ditunjukkan oleh kerajaan bahawa Malaysia tidak sesekali gentar terhadap kecaman tersebut wajar dipuji.

- Advertisement -

Katanya, semua pihak dari kerajaan dan pembangkang hari ini seia dan sekata dalam isu yang membabitkan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin dan mengecam tindakan Israel.

“Apabila kita dengar Perdana Menteri menyatakan beliau menerima ugutan ancaman tekanan dan sebagainya, saya fikir menteri kena dedahkan negara mana yang berani menekan Perdana Menteri kita ini.

“Sebab kita tidak sanggup lihat ini dilakukan, kalau dia berani menekan kita, Malaysia kena menghantar nota bantahan kepada kedutaan terbabit,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Luar Negeri, Senator Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pendirian Malaysia dalam krisis tersebut sangat jelas, iaitu memperjuangkan isu Palestine sejak dahulu lagi.

Beliau menambah, negara-negara berkenaan tidak boleh mengugut kerajaan kerana Malaysia sebuah negara merdeka dan berdaulat, serta mempunyai hak untuk menentukan apa sahaja yang benar.

Namun, beliau tidak mahu mendedahkan negara atau individu yang membuat tekanan dan kecaman terhadap kepimpinan tertinggi negara dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin.

“Perkara kedua, saya fikir agar kita tidak namakan tetapi saya seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri berkali-kali tidak gentar sebarang ugutan yang dilakukan oleh pihak mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/10/2023

- Advertisement -