Mari kita lindungi PM10 dari ancaman luar

- Advertisement -

EMIR Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani mendesak dunia antarabangsa agar jangan berikan rejim Zionis Israel lesen untuk membunuh di Gaza. Qatar memberi perlindungan pada pimpinan HAMAS di Doha dan terlibat sebagai orang tengah untuk mereka.

Presiden Jokowi di Indonesia dengan lantang menggesa ditamatkan segera ketegangan di Palestin. Beliau gesa Negara China campur tangan membantu proses damai itu.

Sultan Hassanal Bolkiah Brunei menyuarakan kebimbangan akan situasi di Palestin dan menuntut gencatan senjata segera. Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa perlu dihormati.

Sabtu lepas Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasena isytihar perkabungan nasional kerana bersimpati Bangladesh pada nasib rakyat Palestin. Bangladesh kata beliau akan berjuang menuntut hak rakyat Palestin untuk punya negara sendiri.

Pemimpin Taliban Afghanistan Hekmatayar dalam kenyataannya memohon agar Allah S.W.T memusnahkan Israel (May Allah Cause All Of Israel To Perish With Thunderbolts).

Presiden Turkiye Erdogan di Parlimennya menyebut serangan Israel ke atas Gaza adalah jenayah kemanusiaan yang dirancang. Terang-terangan beliau menyebut bahawa HAMAS bukannya pengganas tetapi pejuang kemerdekaan yang mahu menuntut hak rakyat Palestin.

Demikianlah lantangnya suara pimpinan Islam dunia, anehnya tiada seorang pun mendakwa menerima ugutan, barangkali kalaupun terima taklah mendedahkan pada rakyatnya secara terbuka.

Semalam Perdana Menteri ke-10 (PM10) berkata, beliau mula menerima banyak ugutan daripada beberapa kuasa besar dunia susulan kelantangan Malaysia membela hak rakyat Palestin.

Mungkin ada baiknya alang-alang buat pendedahan ini PM10 terus nyatakan ancaman apakah yang diterimanya itu agar kita rakyat Malaysia dapat pakat-pakat bantu lindunginya.

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha
PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 26/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -