Halang guna peranti tidak munasabah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Whip PERIKATAN NASIONAL (PN) menyifatkan keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menggunakan Perkara 35 (1) untuk tidak membenarkan Ahli Parlimen menggunakan peranti seperti telefon bimbit untuk membuat siaran langsung ketika berbahas sebagai sebagai tidak munasabah.

Datuk Seri Ronald Kiandee yang pernah menjadi Timbalan Yang di-Pertua Rakyat berkata, ini kerana Parlimen kini berada pada zaman dan era media yang bergerak ke hadapan.

- Advertisement -

“Saya rasa Parlimen harus bergerak ke arah itu, bukan ke belakang. Jadi penggunaan peranti patut digalakkan oleh Speaker.

“(Yang di-Pertua Dewan Rakyat) tidak patut menjadikan Perkara 35(1) sebagai alasan untuk menghalang Ahli Parlimen mengguna peranti,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari yang menyifatkan Ronald sebagai mentornya berkata, Ahli Parlimen yang tidak bersetuju boleh membawa perkara itu kepada Jawatankuasa Dewan Rakyat untuk dinilai semula.

“Sebab peraturan bukan saya yang buat, tetapi kita semua yang buat melalui jawatankuasa,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat jika mahu menonton siaran langsung Parlimen, mereka boleh berbuat demikian menerusi saluran rasmi disediakan.

Sebelum itu Johari berkata, tindakan Ahli Parlimen yang menggunakan peranti tidak menghormati Perkara 35(1) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang menghendaki ucapan tersebut terarah kepada pengerusi.

“Ketika kamu bercakap kepada penonton, fokus kamu bukan lagi pada Dewan. Saya perhatikan, saya duduk atas saya nampak, kamu setengah jam duduk ‘adjust’ (peranti).

“Jadi dia (Ahli Parlimen) tidak terus berbincang masalah rakyat di Dewan tapi terus berkomunikasi dengan penonton. Tindakan ini teruk. Saya minta bila datang sini kena letak keutamaan untuk rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/10/2023

- Advertisement -