Tanah jerlus rugikan pesawah Kerian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masalah tanah jerlus ketika padi sudah boleh dituai di daerah Kerian, Perak, menyebabbkan pesawah mengalami kerugian antara RM5,000 hingga RM6,000.

Ini menyebabkan Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) meminta kerajaan menyatakan langkah bagi memastikan masalah itu tidak berlaku.

- Advertisement -

Beliau berkata, masalah itu membabitkan kira-kira 500 hektar sawah di daerah Kerian, terutama Parit Buntar yang menyebabkan mereka menanggung kerugian.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu mengambil langkah agresif untuk memastikan masalah itu tidak berlaku, terutama ketika negara berhadapan kekurangan beras putih tempatan.

“Untuk makluman kerajaan, masalah pesawah dan saya percaya daerah lain pun sama, untuk memastikan pengeluaran beras tempatan tidak terjejas, ia membabitkan 500 hektar kawasan.

“Hampir 400 pesawah mengalami kerugian dengan setiap seorang rugi antara RM5,000 hingga RM6,000. Jadi apakah tindakan kerajaan untuk membantu pesawah yang mengalami kerugian,” katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Chan Foong Hin ketika menjawab soalan tambahan itu meminta untuk mengemukakan jawapan secara bertulis.

Begitu juga soalan tambahan yang dikemukakan Mohd Misbahul mengenai harga siling benih padi yang diumumkan kerajaan, iaitu RM35 setiap beg ditetapkan bagi Benih Padi Sah (BPS).

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, walaupun pengumuman kementerian berkenaan bagi mengelak usaha manipulasi dan harga lapangan menerusi pembelian tanpa kawalan, namun harga diberikan berbeza.

“Makluman harga benih padi yang disilingkan oleh kementerian ialah RM35 satu beg, tetapi apa yang berlaku kebanyakan tempat, harga benih padi dijual pada kadar RM55 hingga RM65 satu beg.

“Ini menyebabkan pesawah tak mampu untuk membeli harga benih padi yang tinggi, apakah langkah kerajaan untuk memastikan harga benih padi dijual mengikut harga siling yang ditetapkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/10/2023

- Advertisement -