Hampir 400 vendor jayakan pembinaan LCS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) meminta kerajaan menyatakan bilangan vendor tempatan yang terlibat dalam pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Beliau berkata, projek tersebut sudah pasti mempunyai vendor tempatan yang terlibat dan ingin mengetahui keseluruhan bilangan vendor yang terlibat.

- Advertisement -

“Soalan tambahan saya, bolehkah Yang Berhormat Timbalan Menteri nyatakan berapakah bilangan penglibatan vendor tempatan dalam projek Kapal Tempur Pesisir,” katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut bertanya mengenai status terkini rundingan kontrak antara Boustead Naval Shipyard dan syarikat pembekal peralatan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, memberitahu secara umum hampir 400 vendor terlibat dalam projek LCS.

Sementara itu, katanya dalam tempoh beberapa bulan ini, iaitu antara Mei hingga September lalu, segala bentuk perjanjian membabitkan LCS mengambil kira pandangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Katanya, ini termasuk dari segi pembayaran dan pelaksanaan kerana antara teguran PAC ialah kadang-kadang pembayaran melibatkan orang tengah atau syarikat di pertengahan sebelum sampai kepada Pengeluar Peralatan Asal (OEM).

“Sebab itu kalau kita tengok penambahbaikan yang dicadangkan oleh PAC, kita mengambil kira dalam pelaksanaan projek ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/10/2023

- Advertisement -