Jerebu: Pastikan hubungan Malaysia-Indonesia tidak terjejas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu berwaspada berhubung dakwaan insiden jerebu yang melanda Malaysia mutakhir ini adalah berpunca dari Indonesia.

Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkata, tidak dinafikan banyak insiden jerebu sebelum ini disebabkan oleh pembakaran tanah gambut dan hutan di kawasan Riau, Kalimantan dan Sumatera Utara, terutama antara Oktober hingga Disember.

- Advertisement -

Menurutnya, data beberapa titik panas dan arah pergerakan angin menunjukkan kebarangkalian insiden jerebu yang melanda Malaysia mutakhir ini adalah berpunca dari negara jiran itu.

“Walaupun begitu, saya menasihati kerajaan agar berwaspada dan menjalankan aktiviti pemerhatian lebih teliti berdasarkan pangkalan data terbuka di Malaysia, ASEAN Fire Danger Rating System, Pusat Meteorologi Khusus ASEAN di Singapura dan imej satelit Himawari di Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik, Indonesia.

“Tindakan ini bagi memastikan hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia tidak terjejas,” katanya ketika perbahasan sesi penerangan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di bawah Peraturan Mesyuarat 1491)i berkenaan fenomena jerebu yang melanda negara di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairil Nizam berkata, banyak perkara perlu diteliti, termasuk perkongsian maklumat logistik Indonesia dan dakwaan melibatkan syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di negara itu.

Katanya, perkara ini pernah berlaku pada tahun 2015 dan 2019 apabila empat syarikat perladangan negara, iaitu IOI Corporation, Sime Darby Plantation, TDM Berhad dan KLK Berhad antara yang dituduh menjadi punca jerebu di Indonesia.

Sehubungan itu, beliau berpendapat aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan perlu lebih kerap dilakukan bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat menyambut baik usaha konsisten kerajaan dengan menawarkan bantuan kecemasan atas semangat serumpun.

“Meski terdapat desakan kuat untuk mengambil tindakan perundangan ke atas Indonesia seperti penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Jerebu Rentas Sempadan, saya berpendapat lebih elok jika ia tidak diselesaikan menerusi hukuman perundangan buat masa ini.

“Kita wajar mempertimbang secara matang Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura yang memberi implikasi perundangan terhadap entiti nasional dan antarabangsa. Hal tersebut disanggah di peringkat ASEAN kerana prinsip negara anggota ASEAN ialah tidak mengambil tindakan perundangan, tiada intervensi domestik serta harus menyelesaikannya menerusi platform forum serantau,” katanya.

Beliau menyarankan agar perkara pokok yang harus diambil terlebih dahulu adalah mengkaji semula Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Rentas Sempadan 2002 agar lebih substantif dengan fungsi dan instrumen preventif serta punitif perlu disemak supaya lebih berkesan. – HARAKAHDAILY 9/10/2023

- Advertisement -