Pemimpin mesti bebas rasuah, bukan bebaskan perasuah

Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud
- Advertisement -

MUAR: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, seseorang pemimpin harus bebas daripada rasuah dan bukannya membebaskan perasuah.

- Advertisement -

Tambahnya, pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan yang ditadbir PAS sebanyak dua kali semenjak merdeka telah berjaya membuktikan sebuah pentadbiran yang penuh integriti dan pemimpin bebas rasuah.

“Terbukti kita diberi peluang oleh rakyat dengan pertolongan Allah, kita telah memerintah negeri Kelantan lebih daripada 50 tahun iaitu dari tahun 1959 sampai tahun 1978. Dan diberi peluang kali kedua pada tahun 1990 hingga ke hari ini.

“Sudah lebih 50 tahun. Tidak ada seorang pun pimpinan kita, wakil rakyat kita yang disiasat, yang didakwa kerana terlibat dengan rasuah. Seorang pun tak ada. Ini rekod bersih kita yang tidak ada pada parti PH dan juga BN, tidak ada,” tegasnya semasa berucap di ceramah Grand Finale PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram di Dewan BJ Ballroom, di sini, malam ini.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PN Pusat, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden NGO Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa turut berucap pada majlis tersebut.

Namun, menurutnya, perkara itu tidak berlaku kepada PH dan BN yang mana ramai pemimpin mereka terlibat dengan kes berkaitan yang ditarik balik oleh pendakwaan.

Jelas beliau, dengan meletakkan asas Islam dalam pentadbiran kerajaan, pimpinan PAS di Kelantan menjadikan pemerintahannya diterima bukan sahaja pada orang Islam tetapi juga bukan Islam.

“Sebab itu kita nak mengajak pengundi-pengundi yang ada di Johor ini dalam DUN ini dan juga dalam Parlimen Pulai, sama ada pengundi di kalangan Melayu, Cina, India, supaya memberi sokongan kepada kita, memberi sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL.

“Memberi sokongan kepada calon kita, Dr Mazri yang orang sini kenal. Bukan setakat orang sini kenal, dikenali, termasuk orang Kelantan pun kenal. Kalau orang sebaik ini duduk dalam parti yang terbaik pun kalau kita tak sokong, rugilah kita,” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar pengundi-pengundi sama ada yang sebelum ini mengundi PH atau BN agar sama-sama memberi sokongan dan undi kepada calon PERIKATAN NASIONAL pada 9 September nanti. – HARAKAHDAILY 8/9/2023

- Advertisement -