Teras perjuangan Umno makin pudar – Afiq Amani

Bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh, Afiq Amani Annuar mengumumkan keluar daripada parti Umno pada Jumaat, 4 Ogos 2023.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Teras perjuangan Umno yang menjulang orang Melayu dan mempertahankan Islam dianggap semakin pudar setelah parti itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh, Afiq Amani Annuar berkata, situasi itu dapat dilihat apabila Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi sering mempertahankan kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan pemimpin DAP, sedangkan menurut Afiq, kenyataan tersebut turut menyentuh isu 3R iaitu agama, raja dan kaum. 

- Advertisement -

“Saya juga simpati rakan-rakan dalam komponen BN iaitu MCA dan MIC diketepikan dan pemimpin Umno lebih seronok menjulang rakan baharu termasuk DAP.

“Situasi tersebut menyebabkan semangat saya untuk terus kekal bersama Umno sudah hilang,” katanya.

Pada Jumaat lepas, beliau mengumumkan keluar daripada Umno; dan turut mengambil langkah serupa ialah 20 Ahli Jawatankuasa Umno Cawangan Cabang Tiga Haji Musa. 

Sidang media Ketua Pemuda Umno Ketereh, Afiq Amani dan 20 ahli Umno keluar dari part itu pada 4 Ogos 2023.

Berikutan itu cawangan tersebut terbubar, sebelum mereka kemudian menyatakan sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL (PN).

Tambah Afiq, ahli Umno pada peringkat akar umbi masih tidak selesa naratif yang dibawa Presiden Umno menyokong Kerajaan Madani.

Menurutnya lagi, beliau mengambil langkah drastik tersebut menunggu dan melihat perkembangan politik yang berlaku berikutan ayahnya Tan Sri Annuar Musa menyertai PAS setelah dipecat daripada Umno. 

“Saya juga melihat kelantangan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Muhammad Akmal Salleh terhadap kepimpinan tertinggi tidak membawa apa-apa perubahan dalam Umno,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2023

- Advertisement -