Kereta api tergelincir di Pakistan, 30 maut

- Advertisement -

MULTAN: Sebanyak 10 gerabak kereta api penumpang tergelincir di selatan Pakistan, semalam, meragut nyawa 30 orang dan mencederakan lebih 90 orang lain.

Gerabak kereta api Hazara Express terbalik dalam nahas berhampiran bandar Nawabshah, kata pegawai kanan kereta api, Mahmoodur Rehman Lakho. Kereta api itu dalam perjalanan dari Karachi ke Rawalpindi apabila 10 gerabak tergelincir dari landasan berhampiran stesen kereta api Sarhari.

- Advertisement -

Televisyen tempatan menunjukkan pasukan penyelamat mengeluarkan wanita, kanak-kanak dan penumpang warga emas dari gerabak yang terbalik. Beberapa mangsa yang cedera terbaring di tanah sambil menangis meminta tolong, manakala penduduk tempatan memberikan air dan makanan.

Pegawai kanan polis, Abid Baloch berkata operasi menyelamat telah selesai pada awal petang: Berpuluh-puluh orang yang cedera dibawa ke tempat selamat dan gerabak yang terbalik dibersihkan.

Sambil melahirkan rasa dukacita atas kehilangan nyawa, Perdana Menteri Shahbaz Sharif, berdoa semasa perhimpunan politik di Punjab untuk mereka yang terkorban dan mengharapkan mereka yang cedera segera pulih.

“Kita semua berdoa, semoga Allah memberikan tempat di syurga kepada mereka yang meninggal dunia dan saya doakan yang cedera cepat sembuh,” katanya.

Lakho yang bertanggungjawab ke atas landasan kereta api di kawasan kemalangan, berkata kru penyelamat membawa penumpang yang cedera ke Hospital Rakyat di Nawabshah.

Ihtesham Ali yang kehilangan ahli keluarganya dan mencari mereka dalam keadaan huru-hara. “Tujuh ahli keluarga saya dan 22 dari kawasan kejiranan saya hilang dan setakat ini, kami menemui hanya empat daripada mereka, selebihnya masih hilang.”

Mohsin Sayal, seorang lagi pegawai kanan kereta api, berkata trafik kereta api dihentikan di laluan utama ketika kereta api pembaikan dihantar ke tempat kejadian. Sayal berkata, penjadualan semula perjalanan alternatif dan rawatan perubatan akan disediakan untuk penumpang kereta api itu.

Semua kereta api kedua-dua arah dihentikan di stesen terdekat sehingga landasan boleh dibersihkan, manakala semua pelepasan ditangguhkan. Penumpang di stesen Karachi mengadu bahawa mereka menunggu dengan penuh harapan kerana pihak berkuasa kereta api terus mengubah masa berlepas.

Owais Iqbal, penumpang ke Lahore di stesen kereta api Karachi berkata: “Kereta api kami akan berlepas pada pukul 5 petang. Kini kami diberitahu bahawa ia akan berlepas pada pukul 8 malam. Kami sedang menunggu. Kami menderita kerana sistem kereta api yang lemah.”

Menteri Kereta Api, Khwaja Saad Rafiq berkata, siasatan terhadap punca nahas sedang dijalankan.

Beliau berkata, tentera dan separa tentera membantu pekerja menyelamat menyelamatkan penumpang yang terperangkap. Penumpang yang paling parah telah dihantar ke hospital dengan helikopter tentera untuk rawatan yang lebih baik.

Kemalangan kereta api sering berlaku di landasan kereta api yang tidak diselenggara dengan baik di Pakistan dengan sistem komunikasi dan isyarat era kolonial tidak dimodenkan dan piawaian keselamatan adalah lemah. – AP

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!