Pengebumian Sinéad O’Connor esok timbul tanda tanya

Pengebumian Sinéad O’Connor dijadualkan pada jam 10.30 pagi esok, Selasa, 8 Ogos 2023 (waktu Ireland) di Bray, County Wicklow, Dublin, Ireland. (FOTO: Billboard)
- Advertisement -

DUBLIN: Pengebumian penyanyi dan aktivis tersohor Irish, Sinéad O’Connor yang dijadualkan pada esok, Selasa (8 Ogos) telah menimbulkan tanda tanya.

Ia adalah susulan belum ada pengumuman rasmi sama ada O’Connor yang meninggal dunia dalam usia 56 tahun pada 26 Julai lalu akan dikebumikan secara Islam atau tidak, kerana ia dikatakan bergantung kepada keputusan ahli keluarganya.

- Advertisement -

Sehubungan itu, paparan YouTube melalui https://www.thedeencenter.org/build-2 berjudul, They Don’t Want Sinéad O’Connor buried as a Muslim Woman (Mereka Tidak Mahu Sinéad O’Connor dikebumikan sebagai Wanita Islam) telah tukar di Internet pada hari ini, Isnin (7 Ogos)

Sementara menurut laporan The Guardian pada hari ini (7 Ogos), suatu penghormatan dalam bentuk tulisan bersaiz gergasi terhadap O’Connor telah dilancarkan di lereng bukit yang menghadap ke bandar Bray di tepi laut Ireland, tempat beliau akan dikebumikan pada esok hari, jam 10.30 pagi (waktu Ireland).

Mesej dalam huruf besar setinggi 30 kaki yang mengeja perkataan berbunyi  ÉIRE ♡ SINÉAD yang kelihatan dari udara muncul pada semalam, Ahad (6 Ogos) di daerah County Wicklow, selatan Dublin, yang merupakan lokasi kediaman O’Connor selama 15 tahun beralamat di Montobello, Strand Road di Bray.

Visual dari udara mesej tulisan gergasi sebagai penghormatan buat Sinéad O’Connor di bandar Bray, County Wicklow. (FOTO: The Guardian)

Penghormatan itu muncul 11 hari selepas polis mendapati penyanyi yang  dilahirkan pada 8 Dis 1966 dengan nama Marie Bernadette O’Connor sebelum dikenali secara profesional di seluruh dunia sebagai Sinéad O’Connor sebagai penyanyi dan pemuzik profesional itu tidak bertindak balas selepas dihubungi di kediamannya di selatan London pada 26 Julai lalu.

Satu kenyataan daripada keluarga O’Connor menurut laporan media sebagai berkata, O’Connor akan dikebumikan pada esok Selasa (8 Ogos) dan orang ramai akan diberi peluang  memberi penghormatan terakhir apabila kenderaan yang membawa jenazahnya  melepasi pinggir laut Bray.

“Laluan itu akan bermula di Harbour Bar hujung Strand Road dan meneruskan sepanjang pinggir laut ke hujung Strand Road yang lain, di mana Sinéad dan keluarganya kemudian akan meneruskan upacara pengebumian secara tertutup peribadi,” ujar kenyataan darpada ahli keluarga O’ Connor, lapor The Guardian.

Tiada butiran lain dikeluarkan setakat ini tentang pengebumian O’Connor yang juga menggunakan nama Shuhada’ Sadaqat sejak memeluk Islam pada Oktober 2018.

Dr Ali Selim ketika membuat kenyataan media pada Jumaat, 4 Ogos 2023. (FOTO: Independant.ie)

Terdahulu, akhbar The Mirror pada 27 Julai lalu melaporkan bahawa seorang tokoh terkemuka dalam komuniti Islam Ireland berkata, O’Connor perlu diberikan pengebumian Islam mengikut kepercayaan agamanya.

Laporan itu menyebut kenyataan Dr Ali Selim dari Pusat Kebudayaan Islam Dublin sebagai berkata walaupun keluarga O’Connor masih belum menghubungi pihak masjid pada ketika itu untuk menguruskan pengebumiannya, namun beliau sangat mengalu-alukannya.
“Sudah tentu jika beliau (Sinéad O’Connor) seorang Muslim dan ia telah diluluskan oleh keluarganya, saya akan gembira untuk memudahkan prosedur pengebumian secara Islam untuknya,” katanya.

Dalam kenyataannya kepada Independant.ie pada Jumaat (4 Ogos) lalu, Selim berkata, keluarga O’Connor sangat bersedih dengan kehilangannya, dan memuji sokongan yang mereka terima daripada segenap lapisan masyarakat. – HARAKAHDAILY 7/8/2023

- Advertisement -