Selesaikan isu guru enggan ke Sabah, Sarawak

Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu merangka penyelesaian berhubung tindakan 222 guru yang menolak penempatan di Sarawak.

Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 KPM memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebolehpasaran guru.

- Advertisement -

Bagaimanapun, katanya jika tindakan guru menolak penempatan di mana-mana kawasan tidak ditangani segera, kemungkinan hasrat kerajaan mencapai aspirasi pendidikan negara menemui kegagalan.

“Menteri ada menyentuh mengenai latihan guru, saya rasa guru adalah antara ‘driving force’ (daya dorong) dalam pembentukan modal insan, kita melihat lebih 200 guru enggan menerima tawaran.

“Jadi kita lihat, kekurangan ini akan menjejaskan pengajaran pelajar yang ‘they deserve’ (mereka berhak), dalam rancangan masa depan tidak berlaku lagi,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, ketika memberi penjelasan berkata, KPM prihatin mengenai masalah yang berlaku dan antara jalan penyelesaian ialah melantik anak tempatan sebagai tenaga pengajar dan bukan mengambil guru dari Semenanjung Malaysia untuk mengajar di kawasan berkenaan.

“Bagi memastikan isu-isu seperti ini tidak lagi berlaku, kita juga dalam proses melaksanakan intervensi melantik guru anak tempatan.

“Ini bagi memastikan anak tempatan Sabah dan Sarawak diberi peluang untuk menjadi guru dan menempatkan mereka di kedua-dua negeri,” katanya.

Terdahulu Jaziri Alkaf membangkitkan mengenai perancangan kerajaan selepas Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 berakhir tidak lama lagi.

Persoalan ini dijawab Fadhlina yang berkata KPM sedang menilai pencapaian pelan itu dan telah memulakan perancangan untuk membentuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia bagi tempoh akan datang.

“Libat urus, sindikasi dengan pemegang taruh dalam membangunkan pelan pendidikan baharu, kita juga menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi tujuan ini. – HARAKAHDAILY 27/6/2023

- Advertisement -