Pemimpin PH-BN tiada kejujuran dan hala tuju

- Advertisement -

SHAH ALAM: Negara amat memerlukan para pemimpin yang jujur dan memiliki  hala tuju jelas untuk mengangkat martabat rakyat, namun kedua-dua elemen itu tiada pada Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Negeri Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata demikian pada ceramah sempena Jelajah Selangor Baharu ‘Kita Bangkit!’ anjuran PERIKATAN NASIONAL (PN) Selangor yang diadakan di Seksyen 18, di sini semalam.

Beliau mengemukakan empat perkara dinyatakan PH dan BN tetapi tidak dilaksanakan iaitu pertama menentang kleptokrat dan kedua janji Perdana Menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan.

Ketiga katanya, untuk menentang nepotisme habis-habisan dan keempat janji menurunkan harga barangan di mana yang terjadi ketika PH-BN memegang kuasa kini adalah sebaliknya.

“Hari ini habuk pun tak ada, undi Pakatan Harapan hanya tinggal harapan sajalah. Sudahlah tidak ada kejujuran, tidak ada penyelesaian rakyat sedang susah. Yang ada formula-formula,” bidasnya.

Azmin turut seia-sekata dengan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi yang berucap sebelum itu di mana mempersoalkan usaha Kerajaan Negeri Selangor terhadap pembangunan negeri dan kebajikan rakyat.

Menurut mereka, Selangor negeri yang memiliki pendapatan tinggi di mana banyak pembangunan sebelum ini dibiayai sendiri kerajaannya termasuk mengadakan pelbagai insentif.

Namun, kini mereka hairan kerana bukan sahaja tiada pembangunan fizikal yang ketara di bawah teraju PH, malah banyak program kebajikan dahulunya telah tiada lagi. – HARAKAHDAILY 27/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -