BATANG KALI: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Kecil (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) bermula pada hari ini (11 Mei), dengan sebanyak 18 pusat pengundian telah disediakan terdiri daripada 15 sekolah, sebuah Tadika Kemas, sebuah dewan dan sebuah pusat pembangunan di kawasan tersebut dibuka untuk orang ramai mengundi pemilihan calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu.
Mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini seramai 40,226 pengundi berdaftar merangkumi 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.
Ikuti siaran langsung PRK KKB pada hari ini (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee, Ikmal Emir, Aiman Haziq):-
7:47 Pagi: Orang ramai telah mula berkumpul di kawasan luar Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali yang mana waktu undi bermula dijangka bermula pada
jam 8 pagi.
7:52 Pagi: Pintu Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali telah mula dibuka untuk orang ramai masuk.
8:00 Pagi: Pengundian bermula.
8:14 pagi: Situasi di hadapan Sekolah Rendah Agama Bandar Utama Batang Kali masih dalam keadaan tenang, menyaksikan orang ramai datang untuk mengundi.
8:52 pagi: Calon PERIKATAN NASIONAL, Khairul Azhari Saut mengadakan sidang media di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali selepas hadir di sini untuk membuat tinjauan proses pengundian PRK KKB.
9:17 pagi: Situasi di Sekolah Rendah Agama Bandar Utama Batang Kali pula dilihat berbeza, menyaksikan bilangan pengundi yang tidak begitu ramai jika dibandingkan dengan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali.
9.40 pagi: Khairul Azhari hadir membuat tinjauan di pusat undian PRK KKB, di Sekolah Jenis Kabangsaan Cina (SJKC) Batang Kali.
10:05 pagi: Suasana di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali sudah mula menyaksikan penurunan bilangan pengundi berbanding sebelum ini. Sementara, keadaan Sekolah Rendah Agama Bandar Utama Batang Kali juga masih sama, menyaksikan bilangan pengundi yang hadir tidak begitu ramai.
10: 40 pagi: Khairul Azhari hadir membuat tinjauan di pusat pengundian PRK KKB di Sekolah Kebangsaan Ulu Yam Lama.
11.12 pagi: Khairul Azhari berada di Dewan Orang Ramai Jalan Anggerik yang mempunyai 1,571 pengundi berdaftar.
11:30 pagi: Penyokong-penyokong PERIKATAN NASIONAL dan Pakatan Harapan telah memulakan laungan slogan parti masing-masing di sebelah Jalan Meranti 3 berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali.
11.45 pagi: Khairul Azhari kelihatan ceria ketika hadir di pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pecah.
12:40 tengah hari: Penyokong-Penyokong PN dan PH yang berada di sebelah Jalan Meranti 3 berdekatan dengan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali ‘bertanding’ merayu undi pengundi-pengundi yang melalui jalan tersebut.
2:31 petang: Bilangan pengundi yang hadir di pusat mengundi PRK KKB di Sekolah Rendah Agama Bandar Utama Batang Kali telah meningkat sedikit berbanding senario pagi tadi. Begitu juga dengan keadaan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali, bilangan pengundi dilihat semakin bertambah berbanding pada sebelah pagi.
Keadaan itu senada dengan pengumuman terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa sehingga 2 petang hari ini, sebanyak 44.8 peratus pengundi berdaftar sudah keluar mengundi.
3:20 petang: Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim hadir di kawasan Jalan Meranti 3, berdekatan dengan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali, sebagai tanda sokongan moral bersama-sama penyokong-penyokong PN.
3:53 petang: Kehadiran Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad di kawasan Jalan Meranti 3 menyuntik lagi semangat sorakan penyokong-penyokong PN. Pada masa yang sama, penyokong-penyokong PN dengan PH saling berbalas sorakan antara satu sama yang lain.
4:22 petang: Semakin ramai penyokong PN dan PH berkumpul di kawasan Jalan Meranti 3, bersebelahan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali setelah selesainya berbalas sorakan antara satu sama lain. Namun begitu, cuaca di sini sudah mula mendung, dengan terdapat kemungkinan akan berlakunya hujan.
4:30 petang: Penyokong-penyokong PN dan PH di Jalan Meranti 3 telah bersurai memandangkan hujan lebat melanda kawasan itu. Dalam pada itu, menurut SPR, peratus pengundi keluar mengundi bagi PRK KKB sehingga jam 4 petang mencecah 55.79%.
5:41 petang: Cuaca di Batang Kali masih lagi dilanda hujan lebat, menyebabkan ramai pengundi tidak dapat hadir ke Sekolah Rendah Agama Bandar Utama Batang Kali dan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali. Cuaca ini akan dijangka berterusan sehinggalah tamatnya waktu mengundi dalam PRK KKB pada jam 6 petang ini.
6:00 petang: Tamatnya waktu mengundi untuk PRK KKB 2024 pada hari ini. Sebanyak 17 pusat pengundian ditutup pada 6 petang ini manakala satu pusat pengundian iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser ditutup jam 2 petang tadi.
Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi daripada 74 tempat mengundi atau saluran akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.
Keputusan rasmi PRK dengan proses pengundian hari ini melibatkan 39,269 pengundi yang layak menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu bagi DUN KKB, dijangka diumumkan SPR seawal jam 9 malam ini. – HARAKAHDAILY 11/5/2024