Pastikan ekonomi digital manfaatkan belia

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff meminta kerajaan menyatakan sejauh mana pelaburan digital membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan belia.

- Advertisement -

“Sehingga kini, sejauh mana pelaburan digital membantu dari aspek peluang pekerjaan kepada belia dalam sektor industri yang berkaitan, terutama kepada belia luar bandar khususnya di Kelantan?”

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Mengikut soalan asal, Dr Wan Martina meminta kerajaan menyatakan senarai prospek pelaburan digital dan sektor yang terlibat pelaburan bernilai RM1 bilion semasa pelancaran Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN) pada 17 April lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, ketika menjawab persoalan ini berkata, pelaburan digital mampu menyumbang sebanyak 25.5 peratus kepada ekonomi negara.

Katanya, kementerian melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Shopee dan Lazada, memberi latihan kepada belia bagi membangunkan perniagaan.

“Seterusnya belia dapat mengguna platform digital supaya berpeluang mengambil bahagian dalam e-dagang.

“Jadi kita harap bahawa melalui usaha ini, kita boleh nampak lebih banyak belia terlibat dalam e-dagang dan secara keseluruhan boleh terus menyumbang kepada ekonomi digital,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2023

- Advertisement -