Cadangkan penubuhan Agensi Makanan Malaysia

Senator Abdul Nasir Idris

KUALA LUMPUR: Senator Abdul Nasir Idris, mencadangkan kerajaan menubuhkan Agensi Makanan Malaysia sebagai persediaan bagi memperkukuhkan aspek keselamatan makanan negara, terutama untuk menghadapi kemungkinan kecemasan pada masa depan.

Advertisement

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan pandangan kerajaan berhubung penubuhan agensi itu supaya usaha meningkatkan keterjaminan makanan menjadi agenda nasional.

“Selain itu, apakah usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan seperti pemberian insentif kepada pihak terlibat dalam pengeluaran makanan,” katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, kementerian sedang meneliti cadangan tersebut yang bertujuan meningkatkan lagi pengeluaran makanan negara.

Menurutnya, penubuhan agensi berkenaan memerlukan penilaian lanjut, terutama implikasi perundangan, kewangan, sumber manusia dan penyelarasan semula fungsi serta peranan antara kementerian.

Namun, katanya idea penubuhan agensi itu sudah bermula pada Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada Januari tahun ini.

“Usaha ini merupakan antara inisiatif bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, berdasarkan kajian awal kementerian, penubuhan agensi ini hendaklah dilihat secara holistik.

“Ia merangkumi empat aspek utama, iaitu elemen ketersediaan, kebolehcapaian, keselamatan makanan dan pemakanan serta kestabilan dan kemampanan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2023