Aknan perjuang hak masyarakat Siam

Senator Aknan A/L Ehtook
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suara masyarakat Siam di Dewan Negara, Senator Aknan A/L Ehtook meminta Menteri Perpaduan Negara menyatakan butiran dan jumlah peruntukan dalam Belanjawan 2023 yang disediakan untuk pembelajaran bahasa ibunda dan kebudayaan golongan minoriti, termasuk masyarakat Siam.

- Advertisement -

Selain itu, beliau mahu mengetahui sama ada peruntukan tersebut disediakan dalam bentuk sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili masyarakat Siam, iaitu Persatuan Siam Malaysia sebagai badan pelaksana.

Aknan juga meminta kerajaan menyatakan sama ada wujud kaedah lain yang harus masyarakat Siam lakukan untuk memanfaatkan peruntukan tersebut.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, ketika menjawab perkara ini berkata kementeriannya diperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi tujuan pelaksanaan inisiatif dan program pengekalan warisan tradisi di bawah nama Ini Warisan Kita.

Bagaimanapun, katanya peruntukan yang dluluskan itu tidak menetapkan kadar pembahagian dan agihan mengikut kaum atau mana-mana golongan.

“Sebaliknya, ia digunakan bagi pelaksanaan program berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan warisan termasuk pembelajaran bahasa ibunda dan kebudayaan yang telah disusun di bawah inisiatif Ini Warisan Kita,” katanya.

Sementara itu, katanya kementerian menganjurkan program secara khusus bersama masyarakat Siam, iaitu Program Warisan Masyarakat Siam Kelantan di Wat Siam Tumpat, Kelantan pada 17 Jun lalu.

Katanya, program tersebut bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan berkaitan adat resam, budaya seperti pakaian tradisional, makanan dan persembahan kesenian serta perayaan kepada masyarakat Siam pelbagai lapisan generasi. – HARAKAHDAILY 20/6/2023

- Advertisement -