Lulusan luar negara punca lambakan graduan perubatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lulusan luar negara menyebabkan jumlah graduan perubatan negara melebihi kuota pengambilan graduan perubatan yang dibenarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seramai 4,820 orang.

- Advertisement -

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata bilangan graduan perubatan tempatan pada tahun 2020 adalah seramai 2,401 dan bagi 2021 adalah seramai 3,132 orang, manakala pada 2022 seramai 3,934.

Katanya, anggaran bilangan graduan perubatan tempatan bagi tempoh tiga tahun akan datang adalah seramai 3,934 orang setahun, iaitu 2,281 dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 1,653 dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

“Bagaimanapun berdasarkan maklumat KKM, graduan perubatan lulusan luar negara adalah seramai 3,919 orang pada tahun 2020, 4,698 pada 2021 dan 4,875 orang pada 2022.

“Ini bermakna, memang benar jika dicampurkan keseluruhan jumlah graduan keluaran tempatan dan luar negara, maka jumlahnya melebihi 4,800 orang dan ini adalah cabaran yang perlu ditangani,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Prof Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah yang minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan strategi kementerian untuk menangani isu kapasiti lebihan pengambilan graduan perubatan di semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan yang mencecah 4,820 pelajar bersamaan 1,000 hingga 2,000 graduan perubatan luar negara yang pulang ke Malaysia setiap tahun.

Adakah ini menepati sasaran Kementerian untuk melahirkan hanya 4,000 doktor baharu setiap tahun bagi mencapai nisbah disyorkan seorang doktor bagi setiap 400 orang menjelang 2025.

Mohamed Khaled berkata, ini bermakna sebenarnya tidak berlaku lebihan pengambilan pelajar perubatan tempatan.

Sebagai contoh, katanya pengambilan pelajar perubatan tempatan pada tahun 2020 adalah seramai 3,853 orang, bagi tahun 2021 adalah seramai 4,202 orang dan pada 2022 adalah seramai 4,671 orang.

“Jika dihujahkan sama ada jumlah ini melebihi sasaran KKM untuk melahirkan hanya 4,000 doktor setahun, pengeluaran graduan yang sebenar dari universiti tempatan adalah lebih rendah. Ini disebabkan oleh faktor-faktor seperti gagal menamatkan pengajian, menukar jurusan dan lain-lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2023