Pengambilan guru ‘one-off’ diteruskan

Ustaz Kamal Ashaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan pengambilan seramai 22,327 guru melalui kaedah one-off dan kluster mata pelajaran bagi 2021 hingga Januari 2023 sebagai strategi untuk memastikan isu kekurangan guru dapat diatasi.

- Advertisement -

Menurut KPM, beberapa bidang pengkhususan diberi perhatian antaranya adalah Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Matematik dan Sejarah.

“Urusan pengambilan ini akan berterusan bagi tahun 2023 bagi mengisi kekosongan di sekolah bawah KPM,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Kamal Ashaari [PN-Kuala Krau] di Dewan Rakyat, semalam.

Ustaz Kamal dalam soalannya meminta Menteri Pendidikan menyatakan status dan garis masa bagi pengambilan guru baharu tahun 2023, dan perincian pengambilan guru mengikut opsyen mata pelajaran bagi tahun 2016 hingga tahun 2023.

Menurut KPM lagi, SPP telah mengeluarkan iklan pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 Tahun 2023 pada 7 April 2023 sehingga 21 April 2023.

Katanya, pengambilan PPP kali ini terbuka kepada graduan pendidikan (lantikan tetap) dan graduan bukan pendidikan (lantikan secara contract of service).

“Bagi urusan pengambilan lantikan tetap, pemetaan calon dengan Kluster Mata Pelajaran telah selesai dilaksanakan.

“Bagi urusan pengambilan lantikan CoS pula, calon tanpa ikhtisas pendidikan telah menduduki e-UKCG pada 15 hingga 24 Mei 2023,” ujar KPM. – HARAKAHDAILY 16/6/2023

- Advertisement -